KUALA LUMPUR: Sejajar matlamat untuk mendukung hak asasi orang kurang upaya (OKU) dalam memiliki pekerjaan, sebuah syarikat jenama pakaian melaksanakan komitmen itu apabila mengupah golongan berkenaan di cawangan premisnya di seluruh negara sejak 11 tahun lalu.
Malah, menerusi inisiatif yang turut menjadi dasar 'satu kakitangan OKU satu cawangan', Uniqlo Malaysia
mengupah 31 pekerja terbabit sehingga kini.
Pengarah Kelestariannya, Evelyn Tan, berkata sebagai syarikat antarabangsa, pihaknya menerima kepelbagaian manusia di dalam organisasi itu, membekalkan peluang pekerjaan setara untuk semua dan membantu kakitangan memajukan kerjaya mereka bersama.
"Ini termasuk usaha berdedikasi kami untuk menggaji dan memupuk OKU serta menyediakan persekitaran kerja selesa kepada mereka, selain melengkapkan dengan kemahiran diperlukan menerusi program latihan.
"Di bawah tonggak 'rakyat', komitmen kami adalah untuk memastikan pakaian kami dibuat dan diedarkan orang dari pelbagai latar belakang serta dalam keadaan di mana kesihatan, keselamatan dan hak asasi manusia mereka terjaga serta dipertahankan," katanya sempena Hari Orang Kurang Upaya Sedunia, baru-baru ini.
Tan berkata, kakitangan OKU itu ditempatkan di posisi tugas mengikut kekuatan dan keupayaan masing-masing bagi menyerlahkan bakat menerusi latihan seperti sebagai pembantu runcit serta berinteraksi dan membantu pelanggan di cawangan.
Katanya, dalam menggaji kakitangan OKU, pihaknya turut melaksanakan inisiatif menjadikan ruang kerja lebih mesra untuk golongan berkenaan.
"Beberapa inisiatif dilaksanakan untuk memastikan kakitangan OKU dapat mengembangkan kemahiran dan menukar perspektif mereka untuk memaksimumkan potensi di tempat kerja.
"Sebagai contoh, kami menyediakan latihan untuk pengurus cawangan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran, agar mereka dapat bekerjasama secara berkesan dengan kakitangan kurang upaya," katanya.
Kakitangan OKU tetap jadi aset berharga
Pengurus Stor Kakitangan OKU Sepenuh Masanya, yang hanya dikenali sebagai Nazeer, percaya dengan latihan dan asuhan betul diberikan majikan, pekerja OKU boleh menjadi aset berharga.
"Mereka mempunyai kekurangan dan cabaran mereka tersendiri, sama seperti orang lain. Oleh itu, kita mungkin perlu melaburkan lebih banyak masa dan kesabaran untuk melatih serta membabitkan diri dengan kakitangan OKU.
"Pada masa sama, turut memberi latihan kepada kakitangan lain supaya bersama bekerja dengan lebih efektif," katanya.
Latihan tambahan kepada kakitangan OKU bagi meningkatkan kemahiran dan motivasi, mereka diberi latihan dan bimbingan 'on-the-job training' melalui pendekatan langkah demi langkah yang membolehkan mereka mengembangkan kemampuan diperlukan untuk melakukan tugas harian.
"Selain itu, latihan diberi supaya memiliki pemahaman lebih mendalam mengenai OKU agar dapat mewujudkan persekitaran pekerjaan saling melengkapi peranan masing-masing," katanya.
Nazeer berkata, apa yang paling penting ialah mempunyai pemikiran betul apabila bekerja dengan golongan terbabit, menawarkan setiap ahli peluang sama untuk berjaya dalam kerjaya mereka, tanpa mengira sebarang keadaan peribadi atau ketidakupayaan.
"Bagi meningkatkan hubungan kerja dengan kakitangan OKU, majikan perlu menekankan kepada kekuatan mereka bukan kelemahan, berbincang mengenai cara terbaik menyampaikan arahan, selain bersabar apabila orang itu memulakan pekerjaan baru.
"Kurangkan tahap tekanannya dengan memberikan tugas yang boleh dilakukan dan membina kekuatannya," katanya