GUA MUSANG: Rutin suri rumah, Nor Aishah Jaafar berubah sejak April lalu apabila mula berjinak-jinak dengan perniagaan membuat kuih tradisional Buko Ubi Kayu.
Bermula seawal jam 5.30 pagi, Nor Aishah Jaafar, 36, dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, di sini, memulakan rutin harian menguruskan persekolahan dua daripada tiga anaknya yang berusia antara tiga hingga tujuh tahun.
Bermula jam 9 pagi setiap hari, beliau bersiap menyediakan kuih tradisional, boko ubi kayu dan pemanis mulut lain seperti tepung pelita, butir nako serta lopes.
Pada awal pembabitannya dalam perniagaan kuih tradisional, beliau mengiklankan produk jualannya melalui kumpulan perniagaan WhatsApp.
Bermula jam 5 petang adakala bersama anak-anak menghantar kuih jualan kepada pembeli di sekitar bandar ini.
Sambutan menggalakkan diterima penduduk di sekitar bandar ini membuatkan beliau semakin bersemangat untuk meneruskan perniagaan dari rumah itu sehingga kini.
Namun, beliau tidak menafikan walaupun berniaga dari rumah tetap berhadapan dengan cabaran khususnya dari segi pengurusan masa dengan betul.
Menurutnya, sebelum ini memulakan perniagaan, rutin harian hanya tertumpu pada aktiviti sebagai suri rumah dan menjaga anak terutama yang masih kecil berusia tiga tahun.
Sejak sembilan bulan lalu, rutin hariannya berubah apabila perlu membahagikan masa untuk menguruskan rumah, anak dan perniagaan membuat kuih tradisional.
"Setiap hari saya perlu bijak membahagikan dan merancang aktiviti bagi membolehkan tanggungjawab sebagai suri rumah tidak terjejas bagi menjaga kebajikan anak.
"Malah pada awal pembabitan saya dalam perniagaan ini, urusan penghantaran juga dilakukan oleh saya sendiri dan ada kala ditemani anak-anak.
"Inilah cabaran terpaksa saya tempuhi, berniaga dan menjaga anak. Anak berusia tiga tahun setiap masa bersama dan ketika anak tidak sihat, saya terpaksa menghentikan tempahan kuih untuk memberi tumpuan kepada mereka," katanya.
Menurut Aishah, beliau mendapat sokongan penuh daripada suami, Rosdi Yaakob, 40, yang turut membantu membuat penghantaran kuih kepada pelanggan.
Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam perniagaan yang jarang diceburi golongan muda, beliau mempelajari dengan mengikut kelas secara dalam talian.
"Keinginan menjual kuih tradisional timbul apabila di Gua Musang masih tidak ramai yang menjual kuih ini.
"Saya tidak sangka permintaan terhadap kuih tradisional ini sangat tinggi selepas mempromosikannya di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.
"Setiap hari saya menyediakan dua jenis boko ubi kayu, iaitu perasa pandan dan gula melaka" katanya.
Tambahnya, setiap hari beliau menggunakan dua kilogram (kg) ubi kayu untuk menghasilkan 48 bekas kuih boko ubi kayu.
Proses menghasilkan boko ubi kayu tidak sukar, namun perlu teliti supaya ubi kayu tidak liat.
"Masa mengukus ubi kayu mengambil masa antara 15 hingga 18 minit supaya kuih ini lembut dan tidak liat.
"Satu bekas kuih dengan berat 200 gram berharga RM4. Sejak menjalankan perniagaan ini sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi keluarga kami," katanya.