Selasa, 10 Januari 2023 | 11:19am

Fantasi disleksia jadi karya kreatif

GEORGETOWN: Tingkah laku sukar difahami itu yang menjadikan golongan istimewa disleksia terutama kanak-kanak sering tersisih daripada masyarakat.

Malah, lebih menyedihkan apabila ada antara mereka yang menjadi mangsa buli menyebabkan mereka enggan menyertai kelompok orang ramai.

Namun, di sisi lain ramai ibu bapa tidak menyedari potensi anak disleksia mempunyai bakat terserlah.

Membantu menggilap potensi itu, Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil pendekatan mendedahkan dunia fantasi dan kreativiti enam anak disleksia menerusi karya mereka yang sedang dipamerkan di Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) sehingga sejak 1 November hingga 31 Januari ini.

Pameran Denaisutera - Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia itu menampilkan karya Aisya Auliya' Mohd Azam, 11 tahun; Muhammad Aidieyl Asyraf Azmi, 15; Jannatul Amirah Abu Mansor, 17; Amar Ashar Charan Muhammad Kamal, 17; Yousef Mohd Hazril Munir @ Umar, 14 dan abangnya Muhammad Uwais, 17.

Antara karya dihasilkan remaja disleksia. - Foto/Zuhainy Zulkifli
Antara karya dihasilkan remaja disleksia. - Foto/Zuhainy Zulkifli

Lukisan antara enam remaja dalam Pameran. - MGTF, USM.- NSTP/Zuhainy Zulkifli
Lukisan antara enam remaja dalam Pameran. - MGTF, USM.- NSTP/Zuhainy Zulkifli

Pengarahnya, Prof Madya Hasnul Jamal Saidon, berkata projek itu mendapat kerjasama Persatuan Disleksia Malaysia membabitkan peserta dari wilayah utara dan mendapat dana daripada 49 penderma.

Katanya, karya dihasilkan digubah semula kepada bentuk lebih besar, interaktif dan 'immersive' serta dikurator secara kolaboratif oleh ko-kurator jemputan termasuk 48 penuntut Pusat Pengajian Seni USM.

"Pameran memberi peluang anak disleksia menyerlahkan bakat, perasaan atau cara penyembuhan emosi kepada satu medium alternatif bagi meluahkan perasaan gembira, sedih atau marah.

"Diharap pameran ini akan menjadi contoh kepada zon lain, selain memberi pendedahan serta kesedaran terhadap keupayaan golongan itu," katanya kepada BH.

Dibuli kenalan sejak berusia enam tahun sehingga menyisihkan diri dan kesepian menyebabkan Muhammad Aidieyl gemar bersendirian, malah tiada siapa yang memahami termasuk keluarganya.

Muhammad Aidieyl bina sendiri kerangka motosikal dan lori menggunakan bahan di rumah
Muhammad Aidieyl bina sendiri kerangka motosikal dan lori menggunakan bahan di rumah

Muhammad Aidieyl dari Kuala Ketil, Kedah, berkata ketika itu, dia hanya mendiamkan diri di dalam bilik sehingga timbul minat bagi mengetahui lanjut mengenai kenderaan yang bergerak.

Menerusi pengamatannya di rangkaian internet, dia bina sendiri kerangka motosikal dan lori menggunakan bahan di rumah sebelum beralih kepada pembinaan bas dan kereta setahun kemudian.

"Antara bahan digunakan ialah kepingan kotak dan kayu; pelekat, span dan lampu bagi menghiasi kenderaan yang sudah siap.

"Kini, saya gunakan blok Lego dibeli secara berasingan, tetapi diubahsuai menjadi kenderaan dan memang agak rumit. Setiap unit ambil masa empat hingga tujuh hari disiapkan," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

Anak disleksia boleh digilap potensi

Bapanya, Azmi Abu Saman, 46, berkata, dia berhabis wang bagi membeli bahan dan peralatan diingini Muhammad Aidieyl selepas mengetahui minat dan keupayaan anaknya.

"

Keupayaan anak istimewa ini tidak wajar disekat kerana mereka ada sesuatu potensi yang boleh digilap dan mampu mengubah kehidupan kelak.

"Saya dapati perkembangannya sangat positif membina kemahiran dan memupuk keyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai," katanya bekerja sebagai juruteknik kejuruteraan.

Meskipun menghidapi disleksia, Aisya Auliya' mampu menyerlahkan karya seni kreatif.- Foto/Zuhainy Zulkifli
Meskipun menghidapi disleksia, Aisya Auliya' mampu menyerlahkan karya seni kreatif.- Foto/Zuhainy Zulkifli

Bagi Aisya Auliya' yang petah bercakap berkata, dia gemar mencipta dunia fantasi dengan melukis dan mewarna selain menyusun miniatur dan Lego.

Setiap karya dihasilkan mempunyai kisah tersendiri terutama tiga lukisan pertama selain lukisan menggunakan tanah liat dan warna.

"Lukisan pertama mengisahkan persahabatan saya dengan rakan lelaki berbangsa Cina ketika Tahun Satu dan kami gemar bermain bersama walaupun beza bahasa.

"Bagi karya 'My Little Pony', biasanya saya terus buat selepas menonton kartun dan disiapkan satu hari manakala miniatur tiga tingkat ambil masa empat hari disiapkan," kata murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Yuh, Pokok Sena, Kedah, itu.

Karya unik meluahkan isi hati golongan istimewa ini. - Foto/Zuhainy Zulkifli
Karya unik meluahkan isi hati golongan istimewa ini. - Foto/Zuhainy Zulkifli

Ibunya Hanis Aili Azra Abd Razak, 39, berkata dia gemar mempamerkan karya anaknya di laman sosial dan mendapat maklum balas positif orang ramai sekali gus memberi dorongan kepada Aisya Auliya'.

Kata bekas peguam yang kini pelukis separuh masa itu, menyedari anaknya tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, dia fokus kepada kemahiran dan minat Aisya Auliya'.

"Memang mereka sukar difahami, tetapi saya guna pendekatan dengan beli barangan seni dimahukan supaya dapat membentuk dunia tersendiri dan diterjemahkan mengikut kreativiti.

"Dia hasilkan apa terlintas di fikiran, misalnya selepas menonton televisyen Aisya Auliya' akan terus ke bilik dan mencipta sesuatu dan saya perlu tunjukkan sokongan," katanya.

Gambar kiri, Muhammad Aidieyl Asyraf melakukan kerja akhir terhadap karyanya di Pamerah Denaisutera. Gambar kanan, tiga miniatur tiga tingkat dihasilkan Aisya Auliya' di Pameran Denaisutra-Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia,) MGTF, USM. - Foto/Zuhainy Zulkifli.
Gambar kiri, Muhammad Aidieyl Asyraf melakukan kerja akhir terhadap karyanya di Pamerah Denaisutera. Gambar kanan, tiga miniatur tiga tingkat dihasilkan Aisya Auliya' di Pameran Denaisutra-Projek Cerah Hati Karyawan Remaja Disleksia,) MGTF, USM. - Foto/Zuhainy Zulkifli.
Berita Harian X