Ahad, 8 Januari 2023 | 3:39pm
Ku Ariziana menunjukkan sebahagian tudung saji yang dihasilkannya. - Foto NSTP/Hazira
Ku Ariziana menunjukkan sebahagian tudung saji yang dihasilkannya. - Foto NSTP/Hazira

Ibu tunggal jual kraftangan tudung saji sara keluarga

KUALA KRAI: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah perjalanan hidup dilalui Ku Ariziana Tuan Nor yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan membesarkan tiga anak sendirian sejak kematian suaminya empat bulan lalu.

Wanita berusia 42 tahun itu mengakui, selepas kematian arwah suami, Ariffin Ahmad yang menjadi tempat bergantung sebelum ini, dia bagaikan hilang arah hidup, namun perlu kuat melawannya demi menyara anak berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Ku Ariziana berkata, dia kini hanya bergantung dengan jualan kraftangan tudung saji diusahakannya bagi menyara anaknya, namun pendapatan yang diperoleh pun hanya cukup makan untuk kelangsungan hidup seharian.

"Sebelum ini, kami sekeluarga menetap di Puchong, Selangor, namun mengambil keputusan pulang ke kampung halaman pada Julai tahun lalu selepas arwah suami tidak lagi dapat bekerja akibat komplikasi penyakit kencing manis dan meninggal dunia dua bulan selepas itu.

"Kini, sayalah ibu dan sayalah juga bapa. Memang tidak dinafikan, kehilangan suami ibarat lumpuh sebahagian badan. Sebelum ini, kekuatan saya ialah suami, namun hari ini, saya perlu bangkit dan cekal demi membesarkan anak-anak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Kala, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan.

Ku Ariziana berkata, sebelum ini dia menjual kraftangan tudung saji sekadar mahu meringankan beban arwah suaminya yang bekerja kilang.

"Bagaiamanapun, kini ia menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup bersama tiga anak yang masih lagi bersekolah serta memerlukan perbelanjaan.

"Pada masa sama, saya turut menjaga ibu dan ayah yang sudah berusia. Apa pun ini satu amanah dan ia bukan mudah tetapi saya perlu menguatkan diri memandangkan ini sahaja yang saya boleh dilakukan," katanya

Katanya, tudung saji yang dihasilkannya itu dijual bermula pada harga RM35 hingga RM80 bergantung kepada saiz saji dan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk menyiapkan saji bersaiz besar.

"Saji yang sudah siap ini akan dijual secara dalam talian, malah ada juga pelanggan yang datang membelinya terus di rumah.

"Walaupun pendapatan yang diperoleh daripada hasil menjual saji tidak menentu dan bergantung kepada permintaan, saya bersyukur kerana masih lagi ada rezeki untuk menyara keluarga," katanya.

Berita Harian X