Rabu, 4 Januari 2023 | 10:25am
Norshahida ketengahkan muzik tradisional untuk pupuk generasi muda minat dalam bidang muzik. - NSTP/Rosman Shamsuddin
Norshahida ketengahkan muzik tradisional untuk pupuk generasi muda minat dalam bidang muzik. - NSTP/Rosman Shamsuddin

Guru kimia tubuh kumpulan muzik, berjaya pikat penonton

SLIM RIVER: Meskipun tiada latar belakang secara profesional dalam bidang muzik, guru kimia dari sebuah sekolah mampu menubuhkan kumpulan muzik yang berjaya memikat penonton dengan persembahan mereka.

Dengan minat mendalam terhadap bidang muzik mendorong, Norshahida Nor Azmi, 39, menubuhkan Kumpulan Muzik Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Slim, sejak empat tahun lalu.

Katanya, muzik asli atau tradisional umpamanya, wajar diketengahkan kepada pelajar pada masa kini dan generasi akan datang supaya muzik terbabit tidak terus tenggelam akibat perubahan zaman.

"Irama lagu dan muzik tradisional dapat memupuk semangat cintakan negara dan membantu pelajar mengetahui dan mengenali identiti sebagai anak Malaysia, di samping diselitkan unsur jenaka dan nasihat.

"Muzik tradisional mempunyai nilai tersendiri, jadi tidak hairan walaupun zaman semakin moden, muzik ini masih diterima dan sering dimainkan atau dilagukan sama ada di majlis keramaian atau rasmi," katanya ditemui ketika membuat persembahan di Kampung Jaya, Slim River, di sini.

Persembahan diketuai Norshahida yang turut sambil bermain violin berjaya menambat hati, dan ramai terpegun melihat kebolehan pelajar berkenaan mendendangkan lagu irama muzik tradisional.

Memupuk sahsiah remaja

Justeru, kumpulan itu dianggotai 15 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima diberi bimbingan bidang muzik yang ditubuhkan pada 2019 ketika beliau memulakan tugas pada tahun pertama di sekolah terbabit.

Pengalaman menyertai Kumpulan Orkestra Muda Bainun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak memberi idea menubuhkan kumpulan muzik di sekolah sekarang.

"Pengalaman itu memberi manfaat kepada pelajar yang minat dalam bidang muzik.

"Selepas mengenal pasti bakat dan minat pelajar dalam bidang muzik, saya memilih pelajar dan menubuhkan kumpulan ini.

Norshahida tubuhkan kumpulan muzik meskipun tugasan hakiki sebagai guru kimia. - NSTP/Rosman Shamsudin
Norshahida tubuhkan kumpulan muzik meskipun tugasan hakiki sebagai guru kimia. - NSTP/Rosman Shamsudin

"Mulanya pelajar agar bermain alat muzik tetapi selepas menjalani latihan secara berkala dan intensif akhirnya mereka dapat menguasai kemahiran itu," katanya.

Kumpulan muzik terbabit pernah muncul naib johan dalam Pertandingan Kombo Sekolah-Sekolah Menengah peringkat negeri, selain menerima Anugerah Perak dan Lagu Terbaik sempena Festival Pop Apresiasi peringkat kebangsaan.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pendidikan (Kimia) dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata tujuan menubuhkan kumpulan kombo itu untuk mengembangkan bakat dan minat serta potensi pelajar dalam bidang muzik.

"Bidang muzik mempunyai disiplin tertentu, secara tidak langsung ia dapat membentuk sahsiah remaja ini.

"Sokongan Pengetua, Khuzaimie Mohd Nordin dan barisan pentadbir sekolah ini juga berjaya menjadikan muzik tradisional sebagai kebitaraan kokurikukum malah memberi motivasi kepada kumpulan kombo terbabit.

"Saya berazam membawa kumpulan muzik ini pergi lebih jauh lagi dan saya yakin dengan minat dan bakat dimiliki oleh pelajar berkenaan," katanya.

Berita Harian X