Selasa, 4 Oktober 2022 | 11:50am
Tiga beradik kembar dari kanan Zuhri dan Ilmee, Afrina dan Amirul, Zahid dan Adriana (kakak sulung) dan Zuair dan Zaiti ketika bersanding serentak di sebuah dewan di Kota Warisan, Sabtu lalu.- Foto/Ihsan Amirul
Tiga beradik kembar dari kanan Zuhri dan Ilmee, Afrina dan Amirul, Zahid dan Adriana (kakak sulung) dan Zuair dan Zaiti ketika bersanding serentak di sebuah dewan di Kota Warisan, Sabtu lalu.- Foto/Ihsan Amirul
Yulis Hayati dan suaminya, Nor Azam gembira anak kembar bersanding serentak.
Yulis Hayati dan suaminya, Nor Azam gembira anak kembar bersanding serentak.

Tak pernah berpisah, 3 kembar bersanding serentak

KUALA LUMPUR: Tiga beradik kembar yang jarang berpisah sejak kecil mencipta sejarah tersendiri apabila impian bersanding secara serentak terlaksana, di sebuah dewan di Kota Warisan, Sepang, Selangor, pada Sabtu lalu.

Lebih istimewa persandingan di pelamin sama dengan adik-beradik kembar berusia 27 tahun ini, iaitu Nur Afrina Nor Azam; Muhammad Zuhri dan Muhammad Zuhair, adalah juga kakak sulung mereka, Nur Adriana, 29.

Sebelum berkahwin, dua beradik lelaki kembar seiras dan Nur Farina tidak pernah berpisah sejak kecil kecuali ketika masing-masing ketiga-tiga mereka melanjutkan pengajian di universiti tempatan di lokasi berbeza.

Ibu mereka, Yulis Hayati Abrar, 53, berkata beliau dan suami, Nor Azam Ismail, 55, gembira apabila hasrat melihat anak kembar mereka bersanding serentak selepas seorang demi seorang bernikah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Katanya, anak kembar keduanya, Muhammad Zuhri yang paling awal sekali bernikah bernikah dahulu dengan pasangan Ilmee Syafiqah Abdul Jamel, 27, pada 31 Disember 2020, diikuti anak sulungnya, Nur Adriana dengan Muhammad Nur Zahid Ayob Karim, 28, pada 12 Januari 2021.

Dari kiri, Muhammad Zuhri, Nur Afrina dan Muhammad Zuhair, tiga beradik kembar yang jarang berpisah. - Foto/Ihsan Amirul
Dari kiri, Muhammad Zuhri, Nur Afrina dan Muhammad Zuhair, tiga beradik kembar yang jarang berpisah. - Foto/Ihsan Amirul

"Sepatutnya Muhammad Zuhri dan Nur Adriana serta pasangan masing-masing bersanding dahulu tetapi disebabkan PKP majlis tidak dapat dilangsungkan.

"Kemudian, pada 2 April 2021 pula, kembar ketiga kami, Muhammad Zuhair bernikah dengan pasangannya Hafiyah Zainal Abidin, 28.

"Akhir sekali, kembar pertama kami, Nur Afrina pula bernikah pada 18 September lalu bersama pasangannya Muhammad Amirul Fitri Ja'afar, 27, sekali gus melengkapkan semua ketiga-tiga kembar itu selesai menemui cinta hati masing-masing," katanya kepada BH.

Seminggu selepas pernikahan Nurfarina, semua tiga beradik kembar dan dan kakak sulung mereka selamat bersanding bersama-sama di atas satu pelamin.

"Syukur Alhamdulillah hasrat saya tercapai dan majlis berjalan lancar dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu.

"Lebih menggembirakan, anak sulung turut bersanding bersama cucu lelaki pertama saya yang kini sudah berusia enam bulan," katanya.

Yulis ibu kepada enam cahaya mata ini, berkata sejak dulu memang mengimpikan mahu melihat semua anak-anaknya bersanding secara serentak, ditambah pula saudara-mara mula bertanya bila majlis akan diadakan.

Mengulas mengenai persandingan itu, Nur Afrina berkata, beliau tidak menyangka kakak sulung dan dua kembar lelaki seirasnya sanggup menunggunya bernikah untuk bersanding bersama-sama.

Nurfarina yang juga kakitangan swasta berkata, pada mulanya apabila melihat seorang demi seorang adik-beradik lain bernikah, beliau seakan merasa kehilangan kerana mereka semua amat akrab sejak kecil.

"Dilahirkan sebagai anak kembar memang miliki pertalian amat rapat dan tidak pernah berpisah. Kami bertiga pernah demam serentak selepas seminggu masing-masing berpisah kerana belajar di universiti berlainan.

"Saya jurusan Diploma Science Geomatic ke Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau, Perlis; manakala Zuhri di UiTM Jengka, Pahang dan Zuhair di UiTM, Shah Alam (kedua-duanya jurusan Diploma Sains Sukan)

"Kami semua 'sekepala' dan momen paling manis kami dapat bersanding bersama, Selepas boleh kami melakukan pelbagai aktiviti bersama dalam keluarga lebih besar," katanya.

Bagi Muhammad Zuhri berkata, walaupun perlu menunggu lama sehingga lebih dua tahun untuk bersanding tetapi penantian itu amat berbaloi apabila dapat bersanding serentak dengan dua kembar dan kakaknya.

"Syukur semuanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dan paling penting adalah kami amat gembira dengan keputusan yang dibuat ini," katanya.

Bagi Muhammad Zuhair pula, beliau amat gembira kerana dapat menggembirakan ibu dan bapanya apabila mereka membuat keputusan bersanding serentak.

"Ini hadiah untuk ummi dan ayah kerana menjadi ibu bapa yang terbaik untuk kami," katanya.

Antara tetamu hadir memeriahkan persandingan, pasangan berbaju merah ibu dan bapa Amirul Fitri yang berkahwin dengan Nur Afrina.- Foto/Ihsan Amirul
Antara tetamu hadir memeriahkan persandingan, pasangan berbaju merah ibu dan bapa Amirul Fitri yang berkahwin dengan Nur Afrina.- Foto/Ihsan Amirul

Mengulas lanjut, Nur Adriana, sebagai kakak sulung daripada beliau amat berbesar hati apabila berpeluang bersanding bersama ketiga-tiga adik kembar yang akrab dengannya sejak mereka kecil lagi.

"Walaupun saya bersanding lewat dan sudah mempunyai anak, tetapi ia satu pengalaman yang indah yang tidak mungkin saya dilupakan," katanya.

Berita Harian X