Selasa, 30 Ogos 2022 | 12:03pm
Anak perlu diajar lindungi diri elak jadi mangsa jenayah seksual. - Foto hiasan
Anak perlu diajar lindungi diri elak jadi mangsa jenayah seksual. - Foto hiasan
Nurain Atan.
Nurain Atan.

Jaga keselamatan anak, elak jadi mangsa jenayah seksual

KUALA LUMPUR: Sikap ambil peduli masih relevan dalam era yang semakin pesat membangun ini sebagai usaha mengelak sesuatu perkara tidak sepatutnya berlaku terutama membabitkan jenayah seksual di kalangan kanak-kanak.

Malah, mencegah lebih baik daripada mengubati, kata-kata tepat bagi menggambarkan keadaan kes jenayah berkenaan yang sepatutnya mampu dielak bermula di peringkat awal.

Justeru, daripada sekecil-kecil keluarga sehingga ke peringkat masyarakat perlu dididik dan didedahkan dengan keseriusan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kerjaya dan Kaunseling Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nurain Atan, berkata ibu bapa dan penjaga perlu lebih proaktif menjaga keselamatan anak-anak supaya pemangsa seksual tidak berpeluang melakukan jenayah.

Katanya, kanak-kanak perlu diajar melindungi diri supaya mereka dapat mengelakkan diri daripada terdedah kepada ancaman pemangsa seksual.

"Ini kerana kes jenayah seksual membabitkan ahli keluarga juga sebenarnya jarang dilaporkan berbanding jumlah kes sebenar.

"Ia dipercayai membabitkan maruah keluarga dan sekiranya pelaku 'si bapa' yang menjadi satu-satunya pemberi nafkah dalam keluarga, maka ia akan menjejaskan ekonomi keluarganya.

"Ada juga kes ibu bapa tidak ingin memperbesarkan kes sekiranya membabitkan ahli keluarga terdekat dengan menganggap tidak serius dan akan selesai ditelan masa," katanya.

Hakikatnya, emosi dan kesejahteraan psikologi anak-anak akan terkesan teruk sehingga mereka dewasa, malah mungkin sepanjang hidup.

Mangsa akan merasakan mereka tidak diberi keadilan dan mungkin berdendam dengan keluarga sendiri.

"Lebih memburukkan keadaan, mereka pula menjadi pemangsa dan kitaran ini akan berterusan sekiranya mangsa tidak dibantu dan dirawat sewajarnya," tambahnya.

Nurain berkata, kanak-kanak bawah umur menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dan mereka wajib memantau aktiviti anak-anak serta mendidik menjaga diri dan tidak mudah percaya kepada orang lain.

Sekiranya anak menjadi mangsa salah laku, contohnya oleh si penunggang agama, iaitu individu menjadikan agama sebagai alat untuk mencapai kepentingan dan matlamat peribadi, laporan polis perlu dibuat supaya siasatan dapat dijalankan.

"Kes sebegini dapat diketengahkan setelah dibongkar supaya dapat memberi peringatan kepada masyarakat lebih berwaspada," katanya.

Dari segi undang-undang untuk melindungi kanak-kanak Akta Kanak-Kanak (pindaan) 2016 sudah diwartakan.

Menerusi akta itu, satu Majlis Kebangsaan bagi Kanak-Kanak juga ditubuhkan bertujuan menjaga kepentingan dan kebajikan kanak-kanak.

"Walaupun pelbagai undang-undang berkaitan jenayah seksual membabitkan kanak-kanak diperkenalkan, ia dilihat tidak mampu membendung jenayah daripada dilakukan," katanya.

Dengan arus pemodenan semakin pesat dan dunia tanpa batasan menjadi cabaran ibu bapa dan penjaga memastikan anak tidak terdedah dengan pelbagai anasir dan budaya tidak sihat.

Ibu bapa perlu berperanan memantau aktiviti anak yang menggunakan teknologi serta mendidik mereka menggunakannya dengan cara bermanfaat.

"Lazimnya, ibu bapa akan menyekat anak terdedah dengan maklumat berkaitan isu seksual kerana isu sensitif untuk dibincangkan.

"Kini, anak secara langsung atau tidak langsung mampu mencari maklumat itu melalui pelbagai sumber tanpa sempadan, dalam era digital sekarang.

"Risau sumber daripada pihak yang salah. Jadi ibu bapa perlu terbuka membincangkan isu ini serta menerapkan nilai murni supaya anak dapat membezakan mana salah dan betul," katanya.

Selain ibu bapa, institusi pengajian tinggi (IPT) juga dapat platform yang baik untuk mengkaji permasalahan sosial berlaku.

Katanya, kajian berkaitan intervensi berkesan boleh dilakukan supaya dapat disumbangkan kepada masyarakat.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu berperanan membantu memperluaskan lagi capaian dengan adakan kempen kesedaran dan psikopendidikan untuk semua lapisan masyarakat.

"Kerjasama dengan jabatan kerajaan dan perkongsian kepakaran dalam menangani isu semasa juga dilihat mampu membuahkan hasil lebih kolektif," katanya.

Berita Harian X