Selasa, 23 Ogos 2022 | 11:05am
Kanak-kanak tidak berdaya memerlukan masyarakat dan undang-undang untuk menjaga kepentingan mereka elak jadi mangsa penderaan. - Foto hiasan
Kanak-kanak tidak berdaya memerlukan masyarakat dan undang-undang untuk menjaga kepentingan mereka elak jadi mangsa penderaan. - Foto hiasan
Mahmud Jumaat.
Mahmud Jumaat.

Pendera perlu dipenjara, bukan sekadar didenda

KUALA LUMPUR: Kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak memerlukan hukuman berat sekurang-kurangnya penjara yang dilihat setimpal dengan nasib malang menimpa golongan tidak berdaya itu.

Hukuman denda sahaja dilihat tidak memberi kesan tinggi kepada si pelaku yang melihat kesalahan mereka hanya sekadar boleh diganti dengan wang ringgit.

Malah, ia turut memberi impak kepada si pelapor atau pemberi maklumat tindakan mereka membantu mangsa penderaan apabila hukuman diberikan hanya sekadar denda.

Peguam, Mahmud Jumaat, berkata kanak-kanak tidak berdaya memerlukan masyarakat dan undang-undang untuk menjaga kepentingan mereka.

Katanya, hukuman keras harus dijatuhkan kepada mereka yang dengan sengaja mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak.

"Hukuman itu mesti mencerminkan keseriusan kesalahan dan ia mesti menyampaikan kepada orang ramai lebih-lebih lagi, ibu bapa, penjaga dan pengasuh kanak-kanak, mahkamah tidak mengambil ringan dalam kes jenayah penderaan kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut, pengamal dan aktivis undang-undang itu berkata, hukuman tidak setimpal juga dilihat memberi kesan mendalam kepada pemberi maklumat atau 'wisel blower' yang menganggap tindakan mereka sia-sia.

Katanya, kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak agak sukar untuk menunjukkan bukti yang jelas, apatah lagi tindakan pelaku secara terang-terangan melakukan perbuatan kejam golongan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika keluar dari rumah suspek di mana dipercayai berlakunya kejadian dera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak- kanak lelaki berusia 3 tahun di Taman Skudai Ria, Skudai Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika keluar dari rumah suspek di mana dipercayai berlakunya kejadian dera sehingga menyebabkan kematian seorang kanak- kanak lelaki berusia 3 tahun di Taman Skudai Ria, Skudai Johor. - Foto NUR AISYAH MAZALAN

"Kebanyakan kes dera membabitkan kanak-kanak berlaku di dalam rumah. Hanya kesan lebam, parut dapat dilihat dengan mata kasar kesan penderaan itu.

"Hanya Allah tahu bertapa seksanya keadaan kanak-kanak sewaktu mengharungi detik penderaan dilakukan ke atasnya.

"Jika hukuman tidak setimpal, sudah pasti menyebabkan pemberi maklumat kecewa kerana bersusah payah menyelamatkan nyawa tidak berdosa.

Selepas bayar denda, si pelaku boleh terus keluar dan berhadapan dengan si pelapor.

"Ini ditambah lagi menyebabkan tanggapan orang awam untuk tidak terus menjadi 'mata dan telinga' jika berlaku kes membabitkan kanak-kanak atas kekecewaan hukuman yang dikenakan ke atas pelapor," katanya.

Hukuman berat seperti penjara seharusnya dijatuhkan kepada pelaku kerana ia mampu memberi kesan mendalam kepada orang ramai berkenaan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak itu.

Seperti pernah dikongsikan Mahmud dalam Facebook beliau, iaitu berpandukan kepada keputusan Mahkamah Rayuan di dalam kes PP lawan Asmarani Ghazali (2020) 2 CLJ 319, adalah jelas bahawa keselamatan dan kebajikan fizikal serta mental kanak-kanak adalah sesuatu tanggungjawab harus dilaksanakan dengan ketat oleh Mahkamah terhadap seseorang pesalah.

"Ada pihak mengatakan mengikut trend hukuman kes penderaan ke atas kanak-kanak tiada lagi 'precedent' kes mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh. Siapa kata?".

"Saya merujuk kepada kes Noor Amie Abd Rahman lawan Pendakwa Raya (2020) MLJU 1005, iaitu dalam kes ini seorang ibu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mengaku bersalah mendera anaknya yang berumur lapan tahun," katanya.

Mahmud berkata, dalam satu kes penderaan kanak-kanak, justifikasi kecederaan diletakkan secara umum iaitu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Namun, jika kes pengabaian menunjukkan hukuman sama, situasi itu dilihat tidak adil sama sekali.

"Apabila berlaku penganiayaan seharusnya ia wajib dihukum penjara.

Hukuman keras ini supaya menjadi teladan orang ramai untuk tidak sewenang-wenangnya bertindak kejam terhadap golongan tidak berdaya ini.

"Ibu bapa, penjaga atau sesiapa tidak boleh menggunakan alasan mengajar anak, kerana kekerasan membawa kepada kes dera bukan normal untuk mengajar anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka," katanya.

Ada kes tular sebelum ini, seorang pengasuh Taska memukul, mendera dan memberi cili kepada anak asuhan, Mahmud berkata, sekiranya hanya setakat hukuman denda tanpa hukuman penjara dikenakan pihak mahkamah ke atas pesalah bagi kes penderaan kanak-kanak, orang 'psychopath' seperti pendera tidak akan gentar serta goyang dengan hukuman itu.

"Mereka dengan senyum boleh sahaja membayar hukuman denda tanpa rasa bersalah dan warga pendera boleh dengan senang hati meneruskan aktivitinya," katanya.

Hukuman seharusnya bukan hanya sekadar untuk menghukum si pesalah tetapi yang lebih penting adalah untuk memberi pengajaran, teladan dan amaran kepada orang ramai untuk berhenti melakukan kesalahan itu.

Berita Harian X