Sabtu, 20 Ogos 2022 | 4:26pm
Amoi (tiga dari kiri) menunjukkan roti jala yang dibuat sempena menyambut Hari Kebangsaan, di Kampung Linggi, Pos Lebir. - Foto/ Paya Linda Yahya
Amoi (tiga dari kiri) menunjukkan roti jala yang dibuat sempena menyambut Hari Kebangsaan, di Kampung Linggi, Pos Lebir. - Foto/ Paya Linda Yahya

5 jam siapkan roti jala, puding bertemakan Hari Kebangsaan

GUA MUSANG: Dua wanita Orang Asli Kampung Linggi, Pos Lebir di sini, menunjukkan semangat patriotik cara berbeza apabila bersengkang mata menyiapkan roti jala dan puding bertemakan Hari Kemerdekaan negara.

Amoi Latif, 55, dan Khatijah Razak, 39, menghabiskan masa lebih lima jam menyiapkan juadah terbabit bagi menunjukkan semangat patriotik dalam diri mereka.

Amoi berkata, usaha mereka itu, tidak hanya bekerjasama membuat juadah, tetapi juga dalam penyediaan bahan mentah.

Katanya, mereka terpaksa keluar mencari barangan seperti tepung gandum, telur dan bahan pewarna di kedai runcit yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari kampung.

"Kami bersemangat untuk memeriahkan program Hari Kebangsaan dengan membuat juadah ini untuk dimakan bersama penduduk di kampung ini.

"Jika orang lain menunjukkan semangat kemerdekaan mereka melalui kibaran Jalur Gemilang, tapi kami berpakat membuat roti jala dan puding," katanya

Sementara itu, Khatijah berkata, walaupun kepenatan kerana kurang tidur semata-mata untuk menyiapkan juadah terbabit, namun dia berpuas hari kerana hasilnya sangat memuaskan.

"Bagi kami bukan perkara mudah untuk menyiapkan roti jala ini, kerana ia adalah pertama kali kami membuatnya.

"Walaupun terpaksa menghabiskan masa lima jam, namun ia berbaloi untuk kami. Tambahan pula dapat menikmatinya bersama penduduk lain.

"Bagi kami, walaupun tinggal di pedalaman, kami tetap ingin bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan menunjukkan semangat patriotik," katanya.

Berita Harian X