Jumaat, 29 Julai 2022 | 9:38am
Rasaimah habiskan masa terluang tanam pelbagai jenis bunga bagi mencantikkan laman kediamannya. - Foto/Rosman Shamsudin
Rasaimah habiskan masa terluang tanam pelbagai jenis bunga bagi mencantikkan laman kediamannya. - Foto/Rosman Shamsudin
Tanaman bunga dijaga rapi antara aktiviti mengisi kesunyi. - Foto/Rosman Shamudin
Tanaman bunga dijaga rapi antara aktiviti mengisi kesunyi. - Foto/Rosman Shamudin

Laman indah dikelilingi pelbagai spesies bunga

HULU BERNAM: Memasuki pekarangan kediaman seorang warga emas di Kampung Seri Keledang, di sini, nampak kemas dan tersusun cantik, selain kelihatan ratusan pokok bunga di tanam di tanah dan digantung di pondok kecil, sekali gus menambah seri lamannya.

Rasaimah Suhaimi, 66, yang juga ibu tunggal menjalani kehidupan aktif dengan setiap pagi dan petang meluangkan masa menanam pelbagai pokok hiasan di laman rumah.

Katanya, antara pokok hiasan ialah tumbuhan berbunga seperti bunga matahari dan bougainville, tidak berbunga dan renek disusun serta ditanam mengikut kreativiti yang dibeli di nuseri dan diberi jiran tetangga.

"Pokok ini ditanam di dalam pasu dan sebahagiannya di atas tanah mengikut kesesuaian habitat tumbuhan berkenaan," katanya.

"Setiap orang mempunyai minat dan cara mengisi masa lapang, saya memilih menanam bunga kerana ia menjadi terapi minda, apatah melihat pokok itu tumbuh subur bagi mewujudkan suasana lebih ceria," katanya berasal dari Tapah, Perak dan kemudian berhijrah ke kampung itu selepas berkahwin.

Gaya hidup sihat 

Katanya, walaupun segelintir orang menganggap aktiviti itu mudah dilakukan, sebenarnya ia juga memerlukan tenaga, di samping kreativiti diri dalam menjadikan pemandangan laman rumah kelihatan lebih menarik.

Rasaimah juga menanam pokok ulam-ulaman dan sayur bagi mengurangkan belanja dapur dalam menghadapi krisis harga barangan yang tidak menentu selepas wabak pandemik COVID-19.

Beliau akan meneruskan aktiviti sebagai gaya hidup sihat untuk mengisi kesunyian selepas suaminya, Hamdzah Mat meninggal dunia pada 1998 akibat penyakit serangan angin ahmar.

Kini beliau hanya tinggal bersama dua anak, manakala lima lagi anak tinggal berasingan bersama keluarganya.

Beliau berkata, warga emas yang tak ada buat apa-apa aktiviti boleh penuhi masa senggang bagi menjalani hari-hari tua dengan perkara lebih bermanfaat supaya kehidupan lebih bermakna.

Bunga matahari antara ditanam menyerikan taman. - Foto/Rosman Shamsudin
Bunga matahari antara ditanam menyerikan taman. - Foto/Rosman Shamsudin

Aktiviti dilakukan sedikit mampu mengubat kesunyian pada saat anak tinggal berasingan akibat tuntutan kerja dan ada sudah berumahtangga menyebabkan terpaksa tinggal berjauhan dengan mereka.

Justeru, mereka yang kehilangan pasangan selepas seorang dijemput Ilahi juga sudah tentu tidak lepas rasa kesunyian menjalani kehidupan.

Berita Harian X