Selasa, 12 Julai 2022 | 11:36am
Ada suami tidak boleh terima kelemahan isteri berkaitan hubungan intim. - Gambar hiasan
Ada suami tidak boleh terima kelemahan isteri berkaitan hubungan intim. - Gambar hiasan
Siti Fatimah Abdul Ghani
Siti Fatimah Abdul Ghani

Hubungan jadi dingin kerana saluran terkunci

KUALA LUMPUR: Wanita yang mengalami sindrom faraj terkunci (vaginismus syndrome) kerana kegagalan melakukan hubungan intim perlu segera menjalani rawatan termasuk berjumpa kaunselor bagi mengelak depresi yang teruk akibat tekanan daripada persekitaran hingga boleh mencetuskan perceraian.

Faraj terkunci antara penyakit dihidapi ramai wanita sehingga menyukarkan mereka untuk menimang cahaya mata, berikutan pasangan suami isteri mempunyai masalah tidak mampu melakukan hubungan seks.

Situasi itu sangat rapat dengan mental dan psikologi wanita yang sudah berkahwin kerana mempengaruhi minda akibat takut atau bimbang melakukan hubungan seks, atau mereka pernah menjadi mangsa cabul, pernah melakukan hubungan seks secara paksa dan wanita bersalin.

Pegawai Psikologi Kanan Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata wanita yang menghidap penyakit ini memerlukan rawatan dari segi mental terlebih dahulu kerana mempengaruhi fizikal dalam semasa melakukan hubungan intim bersama suami.

Katanya, sesebuah perkahwinan bukan untuk semata-mata untuk seks, tetapi tanggungjawab, perkongsian hidup, suka duka dan pelbagai lagi yang perlu ditempuhi bersama antara pasangan suami isteri.

Persiapan wanita bagi menghidapi penyakit ini untuk tidak menganggap sebuah kekurangan diri yang sangat teruk sehingga menjejaskan kehidupan seharian. Wanita hanya mengalami penyakit ini ketika bersama.

"Namun dari sudut yang lain kehidupan sangat lengkap. Jangan terlalu memikirkannya kerana akan membuatkan mereka sakit sehingga depresi.

"Walaupun sudah berkahwin, hubungan intim bukanlah kunci kebahagiaan semata-mata. Banyak lagi yang boleh dikecapi bersama-sama suami," katanya.

Hakikatnya, tidak semua wanita mampu melakukan hubungan intim dan adalah satu penyakit yang ramai tidak tahu kewujudannya.

Lantas, tanpa sedar ia memberi kesan mendalam kepada emosi dengan perasaan takut terhadap seks dan boleh menjejaskan hubungan suami isteri.

Akibatnya, wanita berasa rendah diri dan mengalami masalah gangguan mental yang sangat teruk sehingga menjejaskan diri jika tidak diubati.

Ini terjadi kerana seorang isteri takut yang keterlaluan untuk melakukan hubungan seks kerana mendengar perkongsian rakan menyatakan bahawa 'seks itu sakit', kebanyakan pesakit menyatakan ia kerana ketakutan melampau daripada diri sendiri.

Kesannya mendorong kepada badan pesakit dan menjadikan otot mengeras ketika melakukan hubungan intim itu.

Mengulas lanjut, Siti Fatimah mengakui ada suami yang tidak boleh menerima kelemahan isteri sehingga menyebabkan kebahagiaan institusi perkahwinan turut tergugat.

"Jadi sebagai suami, bantu isteri agar mereka boleh sembuh dan hargailah mereka sebaiknya, bukan menceraikan mereka atas masalah yang dihidapi. Terimalah segala kelebihan dan kekurangan pasangan," katanya.

Ulas beliau, suami insan paling terdekat dengan isteri yang akan memberi kekuatan dan ubat kepada isteri bagi menyembuhkan penyakit ini.

Seorang suami sepatutnya memahami keadaan isteri dan faham mengapa isteri mengalami masalah kesihatan seperti ini sehingga menyebabkan tidak boleh melakukan hubungan intim.

"Disebabkan suami tidak faham dan stigma masyarakat yang terus menghina ini akan membuatkan si isteri berasa sangat risau ketika bersama pasangan dan mereka juga selalu mengelak untuk bersama kerana ragu-ragu dengan diri sendiri.

"Apa sahaja jenis sakit kita perlukan sokongan dari segi mental dan emosi terutama dari suami agar isteri memperoleh semangat dan manfaat," katanya.

Wanita yang sedang melawan penyakit ini, semuanya dari dalam diri sendiri untuk mengubatinya, selain rawatan oleh doktor.

"Jangan pernah rasa segan dengan diri sendiri, percayalah seorang suami yang baik, boleh menerima anda seadanya," katanya.

Berita Harian X