Jumaat, 13 Mei 2022 | 5:36pm
Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

Laman sesawang khas, sedia maklumat berkaitan isu wanita

KUALA LUMPUR: Wanita termasuk ibu tunggal boleh mendapatkan maklumat mengenai hak mereka menerusi laman sesawang khas sebagai platform memperkasakan golongan itu.

Laman sesawang bertemakan keibuan, laman di alamat https://www.mothering.world/, yang dilancarkan baru-baru ini, meliputi

pelbagai isu mengenai ibu, wanita, maklumat berkaitan hak pekerja, alam sekitar dan lain-lain.

Inisiatif mewujudkan laman sesawang khas berkenaan hasil usaha Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang melihat institusi keluarga dan sumbangan ibu sebagai faktor yang sangat penting.

"Laman sesawang ini bagi menghargai semua ibu dan pengorbanan besar mereka. Saya sendiri seorang ibu dan memahami apa yang diperlukan dalam mengurus keluarga dan apa perlu dikorbankan untuk memastikan mereka hidup sempurna serta gembira.

"Walaupun menggalas tugas sebagai menteri, saya sentiasa memastikan tanggungjawab sebagai ibu tidak diabaikan kerana keluarga sangat penting, selain perlu ada masa untuk bersama yang tersayang," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, dunia akan menjadi 'tempat menakutkan' tanpa adanya golongan ibu.

"Tidak kira berapa usia seseorang itu, dengan kasih sayang, tunjuk ajar, bimbingan dan kebijaksanaan ibu, kita boleh melangkah ke depan dengan penuh keyakinan," katanya.

Beliau mengakui, ramai wanita berdepan kesukaran membahagikan masa di antara kesibukan bekerja, mengurus rumah tangga dan pelbagai komitmen lain.

"Jangan kita lupa wanita dan kanak-kanak perlukan sokongan yang kuat, kasih sayang dan perhatian dalam melalui kehidupan yang penuh mencabar ini," katanya.

Mengenai usaha pemerkasaan wanita, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, berkata beliau sentiasa memperjuangkan agenda meningkatkan penyertaan golongan itu, terutama dalam politik.

"Walaupun jumlah wanita dalam politik kini meningkat, masih banyak usaha perlu dilakukan," katanya.

Dalam kapasiti wanita sebagai pemimpin politik dan wakil rakyat, Zuraida menjelaskan, perlu ada hubungan kukuh dengan masyarakat di kawasan yang diwakili khususnya dan rakyat.

"Saya berdoa dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk membantu mereka dalam apa juga cara," katanya.

Berita Harian X