Selasa, 10 Mei 2022 | 10:21am
Irdina Hakim (kanan) bersama abangnya, Iqbal Hakim, 21, (berdiri) dan adiknya, Aqil Hakim, 15, ketika menyambut Aidilfitri, pada minggu lalu. - Foto ihsan Irdina Hakim
Irdina Hakim (kanan) bersama abangnya, Iqbal Hakim, 21, (berdiri) dan adiknya, Aqil Hakim, 15, ketika menyambut Aidilfitri, pada minggu lalu. - Foto ihsan Irdina Hakim

Kebahagiaan 'diragut' selepas ibu maut di Thailand

KOTA BHARU: Tanggal 18 Mei 2019 akan terus terpahat dalam ingatan Irdina Hakim Jasman, 19, buat selama-lamanya apabila kesempurnaan hidupnya bagaikan 'diragut' dengan kehilangan ibu tercinta yang juga pengasas produk kecantikan Dnars akibat kemalangan raya di Pattani, Thailand.

Kehilangan ibu tercinta, Faizani Rohban membuatkan kehidupan berubah 100 peratus pada usia masih muda.

Rutin hariannya berubah, jika remaja lain akan melepak atau keluar bersama rakan selepas waktu sekolah, namun berbeza dengan Irdina Hakim apabila dia terpaksa masuk ke pejabat bagi mendalami selok-belok perniagaan yang ditinggalkan ibu tersayang.

Bukan tidak mengimpikan untuk menghabiskan masa bersama rakannya, namun dia terpaksa mengenepikan keinginan itu demi menguruskan perniagaan produk kecantikan supaya kekal relevan.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, begitulah kehidupannya selama hampir dua tahun ketika berada di bangku sekolah sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, selama tempoh itu, iaitu ketika usia 17 tahun tiga lokasi sahaja yang wajib dituju setiap hari iaitu sekolah, pejabat sebelum pulang ke rumah.

"Alhamdulillah hasil usaha itu juga, saya banyak belajar selok-belok perniagaan yang ditinggalkan mummy dan kini saya mengambil alih tugas mummy sepenuhnya dengan menghasilkan produk baharu untuk Dnars.

"Kini, pada usia 19 tahun, saya dilantik sebagai Ketua Pengarah pemasaran Dnars selain menjadi pengasas kepada produk berkenaan.

"Jadual rutin saya juga padat dengan urusan perniagaan dan terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk urusan pemasaran," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh dekat Wakaf Bharu, baru-baru ini.

Katanya, pada awalnya, perniagaan arwah ibu diuruskan abang, Iqbal Hakim, 21, namun selepas melihat dia sudah mengetahui selok-belok dan menguruskan dengan baik, abang menyerahkan sepenuhnya kepadanya.

"Minat saya terhadap dunia perniagaan sejak di Tingkatan Tiga selain sering mengikuti mummy ke pejabat antara faktor yang membantu saya mampu melalui fasa sukar ini sehingga berjaya mengemudi produk kecantikan Dnars.

"Ada rasa saya kecewa dan sedih kerana terpaksa mematangkan diri daripada usia sebenar, namun saya tiada pilihan lain dan terpaksa menghadapinya.

"Jika ditanya sekarang saya masih tidak ok kena terpaksa memikirkan banyak perkara dan semua atas bahu saya. Lebih-lebih lagi bidang perniagaan mempunyai banyak saingan dan saya perlu memikirkan apa produk yang terbaru mengikut arus semasa.

"Ada kalanya jiwa saya meronta memandangkan saya masih remaja dan ada ketikanya mahu bersama rakan-rakan, namun ia hanya seketika dan selepas emosi saya tenang, saya kembali normal," katanya.

Beliau berkata, jika ada masa terluang pada hari minggu, dia akan memanggil rakan datang ke rumah kerana memikirkan lebih selesa berkumpul di rumah.

"Selepas pandemik COVID-19, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan dan Alhamdulillah sambutan semakin baik dan saya kini memikirkan untuk mengeluarkan produk baharu.

"Saya bersyukur walaupun diuji dengan kehilangan ibu dan terpaksa berdepan dunia perniagaan ketika usia muda, namun ahli keluarga terutama adik beradik mummy sangat membantu dalam memberi ilmu kepada saya.

"Malah, bapa saudara saya, Mohd Faizul Rohban Ahmad juga terbabit dengan perniagaan produk makanan tambahan dan banyak membantu mengajar saya dalam bidang bisnes," kata Irdina Hakim yang sentiasa merindui saat bahagia bersama ibunya.

Berita Harian X