Khamis, 6 Januari 2022 | 1:47pm
Malaysia perlu sedia data terperinci, sistem telus untuk pastikan pemberian tuala wanita percuma berjalan lancar.- Gambar hiasan
Malaysia perlu sedia data terperinci, sistem telus untuk pastikan pemberian tuala wanita percuma berjalan lancar.- Gambar hiasan

Tiru seperti Scotland, beri tuala wanita percuma

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mencontohi Scotland yang menjadi negara pertama di dunia memberi tuala wanita percuma bagi mengatasi kemiskinan haid.

Ketua Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rojanah Kahar, berkata selain meluluskan undang-undang berkaitan isu haid, Scotland menyediakan tampon atau tuala wanita percuma untuk semua murid sekolah, pelajar kolej dan universiti.

"Jika ingin mengikuti Scotland, Malaysia perlu memastikan penggunaan pendekatan sektor pelbagai, selain memastikan pelaksanaannya diselaraskan bagi mengelakkan lebihan sumbangan atau keciciran.

"Apa yang penting data terperinci dan sistem yang telus. Kita perlu belajar daripada pengalaman lampau terutama ketika menghadapi krisis bencana," katanya.

Beliau mengulas mengenai bantuan bulanan kit asas kebersihan diri secara percuma kepada 130,000 remaja wanita B40 yang dibentangkan dalam Bajet 2022.

Beliau, bagi komuniti miskin bandar isu kemiskinan haid bukan keutamaan kerana hanya mahu keperluan asas untuk kelangsungan hidup.

"Kemiskinan juga punca masalah sosial. Jadi kita perlu selami masalah dialami kumpulan ini.

"Mungkin mereka tiada pekerjaan, pendapatan, tempat tinggal selesa dan selamat, bekalan api, air dan sanitasi," katanya.

Namun, kesedaran mengenai isu kemiskinan haid juga mesti ditangani secara holistik melalui pendekatan perspektif ekologi dengan semua sistem bergabung tenaga bagi melaksanakan secara sistematik.

Selain itu, ibu bapa pula boleh menggunakan pendekatan keibubapaan yang berkesan dan positif termasuk bercakap dengan anak mengenai haid, manakala pada peringkat sekolah guru membantu menyampaikan maklumat aspek kesihatan kepada murid.

Komuniti juga perlu cakna dengan isu kemiskinan di samping kerajaan melalui bantuan badan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan advokasi membabitkan pelbagai kementerian.

"Bentuk satu modul advokasi seragam pada peringkat kebangsaan bagi melatih modal insan babitkan semua peringkat dan agensi bertujuan membantu kumpulan sasar.

"Ia boleh dilakukan selaras Dasar Keluarga Negara. Kita perlukan perubahan minda dan cara kerja bagi membantu keluarga Malaysia keluar daripada masalah sosial," katanya.

Berita Harian X