Selasa, 4 Januari 2022 | 10:03am
Misi utama OrphanCare bantu mencari ibu bapa angkat bagi bayi tinggalkan atau tidak mampu dijaga ibu kandung.- Foto/NSTP
Misi utama OrphanCare bantu mencari ibu bapa angkat bagi bayi tinggalkan atau tidak mampu dijaga ibu kandung.- Foto/NSTP
Riza Alwi
Riza Alwi

456 bayi 'terbuang' diselamatkan

KUALA LUMPUR: Seramai 456 bayi berjaya diselamatkan oleh Yayasan OrphanCare di seluruh negara dengan 281 diambil sebagai anak angkat sejak 2008.

Daripada 456 bayi itu, seramai 163 dijaga sendiri ibu kandung dan 12 lagi bayi ditempatkan di rumah anak yatim kerana pelbagai masalah kesihatan seperti sindrom down, cerebral palsy dan lain-lain.

Ketika ini, tiga Orphancare ditubuhkan, iaitu di Petaling Jaya; Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru, Johor.

Mengikut laporan sepanjang tiga tahun lalu, seramai 37 bayi diselamatkan pada 2019, manakala 45 bayi pada 2020.

Namun, jumlahnya menurun pada tahun lalu kepada 19 bayi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, berkata misi utama mereka adalah membantu mencari ibu bapa angkat bagi bayi yang tinggalkan atau tidak mampu dijaga ibu kandung.

Katanya, bayi diselamatkan tidak perlu ke rumah anak yatim yang dihuni ramai kanak-kanak lain.

"Kami mahu usahakan semua bayi mempunyai keluarga dan kami sudah lakukan sejak 13 tahun lalu.

"Semua bayi diselamatkan akan diserahkan kepada keluarga angkat sebaik selesai semua proses diperlukan," katanya.

Tiga cara bayi diselamatkan menerusi yayasan itu, iaitu pertama ibu sedang mengandung datang ke sini, ibu sudah melahirkan serahkan bayi kepada yayasan untuk dijadikan anak angkat serta ibu yang enggan dikenali menyerahkan bayi di Baby Hatch disediakan.

Katanya, OrphanCare ditubuhkan pada 2018 juga membantu ibu mengandung yang keliru dengan kandungan sama ada untuk menjaga sendiri atau menyerahkan bayi kepada keluarga angkat.

"Kebanyakan ibu mengandung datang ke OrphanCare takut selepas mereka dirogol, menjadi mangsa keadaan atau kesilapan sendiri, tidak mendapat bantuan dan sokongan keluarga.

"Mereka diberikan kaunseling. Selepas sesi kaunseling ada antara mereka memilih untuk menjaga sendiri anak dengan bantuan keluarga atau sistem sokongan lain," katanya.

Bagi yang tidak boleh menjaga bayi, yayasan akan membantu proses pengangkatan untuk diserahkan kepada keluarga angkat berdasarkan senarai nama yang ada.

Kriteria diperlukan untuk menjadi ibu bapa angkat adalah sama seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kriteria itu termasuk sudah berkahwin lebih lima tahun, mempunyai rekod kesihatan berkaitan masalah kehamilan, gaji melebihi RM5,000, tiada rekod jenayah, warganegara, tinggal di lokasi selamat dan lain-lain.

"Yayasan OrphanCare turut mewajibkan mereka hadir sesi latihan mengenai psikologi, sistem undang-undang dan proses pengangkatan.

"Proses mengambil anak angkat hanya tiga sehingga 10 hari. Ini kerana ibu bapa angkat sudah membuat permohonan awal, selain yayasan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pengangkatan sahaja berbanding JKM yang perlu menguruskan banyak perkara.

"Mereka juga akan menjalani sesi temu duga dan lawatan pekerja sosial ke rumah sebelum permohonan diluluskan," katanya.

Riza berkata, yayasan turut membantu JKM menguruskan anak angkat yang sudah berusia dua tahun ke atas berdasarkan permintaan keluarga angkat.

Katanya, ramai kalangan keluarga angkat yang mahu mengambil anak angkat berusia enam dan tujuh tahun ke atas.

"Bukan semua kanak-kanak di rumah anak yatim boleh diambil sebagai anak angkat kerana kebanyakan kanak-kanak sebegini masih mempunyai waris.

"Namun, dengan kerjasama antara OrphanCare dengan JKM, agensi dapat membantu mengenal pasti kanak-kanak yang tiada waris dan boleh dijadikan anak angkat," katanya.

Mengulas mengenai status agama bayi diselamatkan OrphanCare, beliau berkata, bagi ibu yang datang ketika mengandung atau sudah melahirkan, status agama sudah diketahui berdasarkan rekod yang ada.

Bagi bayi ditinggalkan di Baby Hatch tanpa sebarang dokumen, secara automatik mereka diletakkan status beragama Islam.

"Namun, ada ibu meninggalkan bayi dengan nama atau nota, sekali gus membantu memudahkan urusan kita serahkan kepada keluarga angkat," katanya.

Ada ibu kandung yang masih mahu berjumpa atau menulis surat kepada anak selepas diserahkan kepada keluarga angkat.

Selain, ada keluarga angkat datang ke yayasan untuk menyambut hari lahir anak bersama ibu kandung.

"Ini dikategorikan sebagai semi-open adoption, iaitu ibu kandung masih berpeluang menemui anak mereka.

"Sebab itu penting ibu kandung mengikuti sesi kaunseling, manakala keluarga angkat menjalani sesi latihan kerana ia memberi penerangan perlunya hubungan dengan ibu kandung.

"Ini dapat mengelak keluarga angkat mempersoal jika ibu kandung mahukan semula anaknya," katanya.

Berita Harian X