KUALA LUMPUR: Wanita yang berkerjaya perlu bijak menguruskan masa, ilmu keibubapaan dan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya ampuh mengharungi pelbagai cabaran dalam menyeimbangkan aspek kekeluargaan dan pekerjaan.
Pensyarah Psikologi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Raja Zirwatul Aida Raja Ibrahim, berkata pengurusan masa yang baik akan menyudahkan urusan keluarga lebih awal sebelum ke tempat kerja.
"Daripada segi pengurusan masa, mungkin mereka perlu melakukan pengorbanan sedikit dengan memulakan hari lebih awal setiap hari," katanya.
Beliau berkata, suasana pandemik dan keperluan untuk BDR menyebabkan banyak pihak mula memahirkan diri dengan ICT yang sebelum ini begitu asing buat mereka.
Berkongsi pengalamannya sendiri, Raja Zirwatul Aida berkata, kalangan guru Pendidikan Khas yang ditemuinya di Terengganu mengakui keperluan BDR menyebabkan mereka berpeluang memahirkan diri dengan ICT.
Malah, dari segi psikologi katanya, kebolehan menguasai sesuatu kemahiran akan memberi keyakinan kepada seseorang dalam menjalankan tugas sebaiknya.
Ilmu keibubapaan pula katanya penting bagi mendidik anak terutama dalam keadaan penuh cabaran kini.
"Ilmu dimiliki akan membolehkan wanita berkerjaya mengawal emosi serta menyelesaikan masalah dihadapi, selain membantu mereka menerapkan pemikiran yang positif.
"Kemahiran ini akan membolehkan seseorang wanita berkerjaya menggalas tanggungjawab dengan baik di rumah serta di pejabat.
"Sokongan diberi kepada wanita berkerjaya adalah selari dengan objektif ke arah menyokong kesihatan dan kesejahteraan melalui Matlamat Pembangunan Selari (SDG)," katanya.