Selasa, 21 Disember 2021 | 10:52am

Pantang selepas bersalin, suami 'jangan lepas tangan'

KUALA LUMPUR: Masih ramai lelaki terutama bapa muda ketika ini meletakkan isu berpantang selepas melahirkan bayi sepenuhnya ke atas bahu isteri dan ibu mereka.

Isu berpantang itu boleh diuruskan sendiri terutama oleh suami jika tahu cara yang betul.

Pengasas bersama Tungbayee iaitu perusahaan yang menyediakan set pengurusan lengkap berpantang ibu dan bayi, Syed Hussien Syed Mustafa, berkata menyedari perkara itu, beliau bersama isteri Wan Albi Fathmy Zainal Abidin, 36, menyediakan kelas kesedaran berkaitannya.

Katanya, kelas itu bertujuan memberikan pendidikan bukan sahaja kepada bakal ibu, tetapi kepada bapa mengenai kepentingan berpantang dan cara berpantang yang betul.

"Walaupun ada lelaki yang merasakan isteri atau ibu mentua boleh menguruskan sendiri urusan berpantang, tetapi mereka salah.

"Namun, jika meletakkan sepenuhnya urusan berpantang kepada isteri, mereka akan berasa terbeban, tambahan pula dalam keadaan baru melahirkan.

"Sebenarnya urusan berpantang tidak susah malah mudah sahaja jika bapa tahu caranya," katanya.

Syed Hussein berkata, ketika ini memang banyak disediakan perkhidmatan penjagaan ibu berpantang yang lengkap, namun ia memerlukan kos tinggi.

Akuinya walaupun ia lebih mudah, namun tidak semua orang mampu menggunakan perkhidmatan itu sepenuhnya, terutama keluarga berpendapatan sederhana.

Syed Hussien Syed Mustafa.
Syed Hussien Syed Mustafa.

"Justeru, dengan pelbagai peralatan berpantang yang lebih mudah, bakal bapa boleh mula menguruskan isteri mereka sendiri selepas ini.

"Sebagai contoh, jika sebelum ini untuk ibu berpantang mandi herba perlu mencari herba dan daun-daun diperlukan, tapi sekarang semuanya boleh dibeli siap dan bapa hanya perlu merebus sahaja.

"Begitu juga peralatan digunakan seperti bengkung, cara penggunaannya sudah dipermudahkan, namun masih mampu mendapatkan kesan yang sama," katanya.

Katanya, usaha memudahkan penggunaan berkenaan memudahkan ibu ,tetapi juga suami untuk membantu mereka.

"Tetapi ini tidak bermakna amalan tradisi berpantang diamalkan sejak turun-temurun dilupakan, ia cuma dimodenkan dan dipermudahkan supaya lebih sedang digunakan," katanya.

Menjaga wanita yang berpantang bukan bermula dari masa mereka sudah melahirkan anak, tetapi dari saat mengetahui mereka hamil lagi.

Ini kerana katanya, ketika itu hormon wanita mulai tidak stabil dan mental serta emosi mudah terganggu akibat perubahan fizikal.

Syed Hussien ketika menjaga Wan Albi Fathmy selepas bersalin. - Foto ihsan Syed Hussien
Syed Hussien ketika menjaga Wan Albi Fathmy selepas bersalin. - Foto ihsan Syed Hussien

"Ketika ini peranan suami bermula. Mereka perlu sentiasa mengambil berat mengenai isteri supaya wanita merasa dihargai, sekali gus membantu memberi impak positif kepada emosi mereka.

"Apabila emosi wanita sentiasa berada dalam keadaan baik sehingga proses melahirkan, ia juga dapat mengurangkan kadar tekanan dan mengelak daripada meroyan," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan wanita ketika ini ramai berkerjaya, justeru mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih, selain perlu mengurus rumah tangga.

Oleh itu, jika suami turut sama memainkan peranan ia dapat membantu mengurangkan beban wanita terutama mereka yang sudah mempunyai ramai anak.

"Apa yang penting komunikasi antara suami dan isteri. Suami perlu tahu keperluan isteri dan begitu juga sebaliknya.

"Saya mencadangkan supaya dalam kursus kahwin selepas ini, turut ditambah modul mengenai peranan suami untuk menjaga mental dan fizikal isteri ketika isteri mengandung serta berpantang," katanya.

Berita Harian X