Sabtu, 26 September 2020 | 11:01am
Buang rahim bukan penyelesaian terbaik tangani masalah kitaran haid dalam kalangan remaja istimewa.- Foto hiasan
Buang rahim bukan penyelesaian terbaik tangani masalah kitaran haid dalam kalangan remaja istimewa.- Foto hiasan

Buang rahim 'remaja istimewa'

PENJAGAAN anak istimewa sering kali memberi tekanan kepada institusi kekeluargaan terutama ketika menginjak usia remaja.

Kedatangan haid dalam kalangan remaja perempuan sudah pasti menimbulkan kerisauan ibu bapa sama ada mereka bersedia menangani kitaran haid ini.

Kajian di Australia menunjukkan 60 peratus remaja istimewa ini menghadapi kesukaran mengurus diri ketika berhadapan kitaran haid. Remaja ini juga mengalami senggugut dan turun darah yang banyak sama seperti rakan sebaya mereka yang sihat.

Pakar Obestetrik dan Ginekologi, Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HTCM), Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata Unit Kanak-Kanak dan Remaja di hospital berkenaan mengendalikan banyak permasalahan kitaran haid dalam kalangan remaja istimewa ini.

Katanya, ramai ibu bapa ke klinik memohon untuk dilakukan pembedahan buang rahim anak mereka.

Pembedahan buang rahim bukan bukan penyelesaian yang terbaik dalam menangani permasalahan kitaran haid dalam kalangan remaja istimewa ini.

Adakah pembedahan seumpama ini dibenarkan dalam konteks agama Islam?

"Sehingga kini, tiada fatwa yang melarang pembedahan buang rahim membabitkan remaja, namun setiap pembedahan harus dinilai dari segi implikasi sama ada ia mendatangkan kemudaratan kepada seseorang. Malah di sesetengah negara, contohnya di Australia, melakukan pembedahan sedemikian salah di sisi undang-undang.

"Mungkin ramai yang beranggapan permintaan ibu bapa untuk melakukan pembedahan buang rahim ke atas anak mereka adalah keterlaluan dan drastik tanpa memikirkan risiko pada anak mereka sendiri. Namun, adalah penting untuk merungkai punca permintaan mereka," katanya.

MAKLUMAT berkaitan kitaran haid perlu disampaikan kepada remaja dalam bentuk visual supaya mereka lebih faham mengenainya. - Gambar hiasan
MAKLUMAT berkaitan kitaran haid perlu disampaikan kepada remaja dalam bentuk visual supaya mereka lebih faham mengenainya. - Gambar hiasan

Beliau berkata, ramai ibu bapa sebenarnya terkesan dengan kedatangan haid anak perempuan berikutan menghadapi kesukaran dalam penjagaan kebersihan dan memberi kefahaman kepada anak istimewa ini.

Remaja ini sudah tentunya tidak dapat memahami perubahan yang berlaku dalam diri mereka. Ada di antara mereka tidak dapat mengekspresi kesakitan atau ketidakselesaan yang mereka hadapi dengan cara vokal dan bertindak secara fizikal dengan menghantuk kepala di dinding atau menangis sambil menumbuk tubuh mereka.

Ini sudah tentu menimbulkan kegusaran kepada ibu bapa mereka. Ada sekolah tidak membenarkan remaja ini ke sekolah ketika didatangi haid disebabkan kekurangan tenaga pengajar untuk memantau keadaan mereka.

Ini sudah tentu memaksa ibu bapa yang bekerja mengambil cuti untuk menjaga anak mereka di rumah. Lebih menggusarkan jika ibu bapa dibayar gaji harian yang mana ia memberi impak kepada pendapatan keluarga itu

Persepsi salah

Menurut kajian yang dilakukan oleh Unit Kanak-kanak dan Remaja Ginekologi, HTCM, 90 peratus ibu bapa melahirkan kerisauan anak mereka dicabul oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Sudah tentu mereka merasakan dengan pembedahan buang rahim dapat menghindar perkara seumpama itu berlaku.

"Persepsi ini adalah salah. Perlu diingatkan pembuangan rahim tidak menghalang perkara itu dari berlaku. Ia cuma berkesan menghalang anak gadis mereka daripada mengandung," katanya.

Justeru, penting ibu bapa melihat sendiri persekitaran di rumah dan sekolah bagi memastikan selamat untuk anak remaja.

 PROF Dr Nur Azurah Abdul Ghani.
PROF Dr Nur Azurah Abdul Ghani.

Kaedah menangani masalah kitaran haid

Dr Nur Azurah, berkata ada beberapa kaedah yang dapat digunakan untuk menangani permasalahan kitaran haid dalam kalangan anak istimewa. Sebelum sebarang rawatan ditawarkan, ibu bapa harus diberi penerangan berkenaan cara yang efektif dalam menangani kitaran haid ini.

nting maklumat berkaitan haid ini disampaikan kepada remaja dalam bentuk visual yang boleh difahami mereka

"Ibu memainkan peranan yang penting dengan menunjukkan cara memakai tuala wanita yang betul," katanya.

Pilihan kaedah

Bagi mereka yang tidak dapat menangani kitaran haid, pemberhentian haid boleh dilakukan dengan beberapa kaedah.

Antaranya dengan pengambilan pil atau injeksi hormon secara berterusan, pemakaian hormon implant di lengan dan penggunaan alat dalam rahim yang mengandungi hormon.

Pemakaian implant dan alat dalam rahim perlu dilakukan di dewan bedah dan remaja akan diberi bius sepenuhnya.

Kedatangan haid dalam kalangan 'anak syurga' sudah tentu memberi impak kepada ibu bapa. Penerangan awal mampu memberi kefahaman kepada ibu bapa cara menangani masalah haid dan memberi persediaan mental kepada mereka.

Info: Pilihan kaedah

i. Memasukkan mirena dalam rahim

* Sejenis IUD (intra-uterine device) tetapi ada tambahan hormon.

* Jika bersesuaian ia kaedah paling sesuai dan disarankan bagi kanak-kanak istimewa menghentikan kitaran haid.

* Prosedur memasukkan mirena dalam rahim mudah dan hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit.

* Pemeriksaan wajar dilakukan setiap enam bulan atau sekali dalam setahun.

*Boleh dipakai sehingga lima tahun sebelum ditukar yang baru.

ii. Pengambilan pil hormon

* Pilihan kedua yang sesuai diambil bagi menghentikan kitaran haid.

* Perlukan disiplin tinggi kerana ia perlu diambil setiap hari.

* Kanak-kanak istimewa yang sukar mengambil ubat tidak sesuai untuk mengambilnya.

iii. Suntikan implan

* Implan disuntik pada bahagian lengan.

* Suntikan perlu dibuat dua atau tiga bulan sekali.

* Antara kesan paling dibimbangi ialah menyebabkan kesan kerapuhan tulang cepat

Berita Harian X