Khamis, 20 Ogos 2020 | 8:23am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Dilema wanita mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Keganasan rumah tangga satu bentuk keganasan, penderaan atau bentuk perlakuan yang bersifat menakut-nakutkan dan lazimnya digunakan untuk mengawal atau mengekalkan kawalan ke atas pasangan yang berada dalam hubungan intim.

Mengambil contoh kes pasangan Youtuber, S Pavithra dikasari suaminya hingga mendapat perhatian masyarakat termasuk Mahkamah Seksyen memerintahkan wanita itu menyerahkan surat rasmi, beliau menarik balik pertuduhan terhadap suaminya M Sugu, 29, kerana mendatangkan kecederaan kepadanya.

Pegawai kanan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Rusni Tajari, berkata kes seperti pasangan Youtuber dan sesetengah wanita lain juga berdepan dakwaan berhadapan keganasan rumah tangga.

Katanya, keganasan rumah tangga boleh mengakibatkan penderaan fizikal, seksual, emosi, ekonomi atau psikologi.

"Melihat pada senario itu, WAO menegaskan tiada siapa wajar didera atau perlu memilih antara keselamatan dan kerjaya. Bagi kami, pilihan pemandiri harus diutamakan.

"Misalnya apabila mereka membuat keputusan menarik semula laporan polis, pemandiri akan memikirkan banyak faktor lain seperti keselamatan diri, anak-anak, kewangan dan emosi.

"Ia adalah keputusan yang sukar akan tetapi pemandiri berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menilai risiko dan membuat keputusan mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Rusni berkata, perkara seterusnya adalah menghormati keputusan pemandiri dan memastikan wujud sistem sokongan mencukupi supaya pemandiri boleh membuat keputusan yang terbaik untuk diri sendiri.

"Seterusnya pihak berwajib wajar memperuntukkan sumber mencukupi kepada perkhidmatan krisis pada pembentangan Belanjawan 2021 akan datang.

"Saranan kami adalah memperuntukkan bajet tambahan RM50 juta untuk membina rumah perlindungan krisis dan menambah baik rumah perlindungan sedia ada bagi pemandiri keganasan berasaskan gender," katanya.

Katanya, selain itu tambahan RM5 juta pula untuk tujuan operasi dan penambahbaikan talian telefon 24 jam dan hotline sokongan krisis di laman web yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

"Kerajaan juga disyorkan mewujudkan dana tahunan berasingan sebanyak RM20 juta bagi memerangi keganasan berasaskan gender ketika krisis kesihatan dan krisis keselamatan yang bakal mendatang.

"Di samping itu, kerajaan mewujudkan dana antara agensi untuk melatih responden pertama termasuk polis, pegawai perubatan, dan pegawai kebajikan yang menguruskan kes keganasan berasaskan gender," katanya.

Berita Harian X