Khamis, 13 Ogos 2020 | 11:13am

Dedah data kes bunuh berkait keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menganalisis dan mendedahkan data kes mangsa pembunuhan yang mempunyai hubung kait dengan keganasan rumah tangga, di negara ini.

Pegawai Advokasi Kanannnya, Rusni Tajari, berkata analisis dan data itu penting kerana ia jelas menunjukkan kesan buruk daripada keganasan rumah tangga yang akhirnya menjurus kepada pembunuhan.

Katanya, WAO mempunyai peranan untuk membantu wanita yang kerap berhadapan dengan penderaan dan keganasan rumah tangga.

"Jika dilihat hasil kajian di negara lain menunjukkan kira-kira dua daripada lima mangsa pembunuhan wanita dibunuh oleh pasangan mereka sendiri.

"Oleh itu, penting mengetahui data ini bagi memastikan mangsa keganasan rumah tangga terselamat daripada dibunuh akibat kekejaman pasangan mereka.

"Pada masa sama, WAO juga meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk meneliti perkara ini," katanya dalam satu kenyataannya, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pensyarah di sebuah universiti awam mati dipercayai dibunuh oleh suaminya, pada 29 Julai lalu dengan menjerut leher mangsa sehingga mati, berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Perbuatan itu dipercayai akibat berang dengan tindakan mangsa yang mahu memfailkan pengesahan cerai.

Mengulas isu sama, Rusni menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berperanan sebagai pelindung kanak-kanak untuk memberikan sokongan dan rawatan yang sepenuhnya terutama yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Bagi kes pensyarah mati dibunuh suaminya, sepatutnya isu perlindungan dan kerahsiaan data peribadi kanak-kanak, iaitu anak mangsa yang tidak sepatutnya didedahkan.

Katanya, menurut laporan berita, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff mengunjungi kediaman mangsa untuk bertemu dan mengambil gambar bersama dengan anak mangsa, kemudian menyiarkannya di laman media sosialnya.

"Berikutan itu gambar anak mangsa mendapat liputan media yang menyebabkan nama dan gambar kanak-kanak itu terpampang di halaman utama akhbar.

"Mengikut Akta Kanak-kanak 2001, privasi kanak-kanak yang terjejas dengan jenayah mesti dilindungi. Justeru, sepatutnya identiti anak mangsa tidak harus didedahkan.

"WAO memohon kementerian menerusi JKM sepatutnya berperanan sebagai pelindung kanak-kanak untuk memberikan sokongan dan rawatan sepenuhnya.

"Kita rasa kecewa dengan keadaan itu apabila Akta Kanak-Kanak 2001 tidak digunakan," katanya.

Sejak 1982, WAO menyediakan rumah perlindungan, kaunseling dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan.

WAO turut membantu mangsa yang terselamat daripada keganasan rumah tangga, rogol, pemerdagangan dan pelbagai penganiayaan lain untuk membina semula kehidupan mereka.

Mangsa yang ingin mendapatkan bantuan boleh hubungi Hotline WAO di talian 03 7956 3488 atau SMS/WhatsApp TINA di talian 018 988 8058.

Berita Harian X