Isnin, 8 Jun 2020 | 7:25am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Episod hitam didera bapa kandung

KUALA LUMPUR: Didera, dihina dan diganggu secara seksual. Begitulah penderitaan dialami oleh Hidayah (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa kezaliman bapa kandung sendiri.

Hidayah, 24, bersama anaknya 'terperangkap' di rumah ibu bapa di Seremban, Negeri Sembilan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu, manakala suaminya bekerja di Labuan.

Ibarat kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi, begitulah azab kehidupan Hidayah, anak sulung yang menumpang di rumah ibu bapanya dan terus menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapa sendiri sejak usia tujuh tahun.

Hidayah yang kini hamil empat bulan anak kedua, mendakwa ibu dan lima adiknya turut menjadi mangsa penderaan bapa yang juga seorang penganggur, kaki judi serta penagih dadah.

Lebih menjelikkan apabila, anak lelaki Hidayah yang baru berusia enam bulan turut diganggu datuknya.

Tidak cukup sikap keji bapanya itu, mereka sekeluarga sering berdepan cacian serta tempikan bapanya sepanjang hari.

"Ada saja tak kena di matanya... ayah selalu maki kami," katanya kepada BERNAMA.

Hidayah, berkata beliau didera bapanya sejak kecil dan mendakwa dipukul hampir keseluruhan anggota badan seperti di kepala, tangan, perut, dahi dan bibir sehingga meninggalkan kesan luka serta lebam.

"Ayah menggunakan objek seperti kayu, besi malah kerusi untuk memukul saya," katanya menambah walaupun beliau boleh meninggalkan rumah dan hidup bersama suami, namun perasaan takut menyelubungi Hidayah menjadi batu penghalang untuk menyelamatkan diri daripada 'cengkaman' bapanya.

Episod hitam dialami Hidayah dan sikap zalim bapanya itu adalah antara corak kes keganasan rumah tangga membabitkan si pendera mungkin daripada suami, anggota keluarga terdekat atau penjaga.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad, berkata bagi kes keganasan intim ini, si pelaku menggunakan kekerasan fizikal serta merancang pelbagai taktik untuk mengawal mangsa sama ada dari segi penderaan fizikal, verbal, emosi, ekonomi dan penderaan seksual.

"Terlalu obsesi dengan pasangan sehingga cemburu tidak menentu, (faktor) genetik dan pengaruh persekitaran juga boleh jadi punca (penderaan) membabitkan penganiayaan fizikal seperti menampar, mencengkam, mencubit, menggigit dan penganiayaan seksual iaitu memaksa pasangan melakukan hubungan seksual," katanya.

Sementara itu, pakar psikoterapi dan kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan), Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din, berkata pelaku mungkin mempunyai sejarah silam didera ketika kecil sehingga mengakibatkan dia mendera mangsanya.

"Penderaan bukan satu tingkah laku semula jadi kerana kebanyakannya dipelajari sama ada daripada contoh suri teladan yang berlaku dalam keluarga sendiri atau pengalaman didera, terutama ketika kecil.

"Stres atau tekanan hidup menjadi faktor penyebab (keganasan rumah tangga) sahaja kerana sifat ganas dan tabiat mendera itu sudah tertanam di dalam dirinya," jelas Meriam.

Meriam berkata, orang yang mendera lazimnya seorang yang panas baran, maka adalah penting pasangan atau anggota keluarga mengelak daripada membuat sebarang provokasi dan menyakiti antara satu sama lain.

"Jangan marah, jangan berleter, berbincang secara elok dengan mereka. Ini penting memandangkan ia boleh merangsang kemarahan si pelaku untuk melakukan penderaan.

"Elak bergaduh di hadapan anak kerana akan memberi kesan apabila anak membesar kelak. Misalnya, jika bapanya kaki pukul, mungkin anaknya akan membesar menjadi kaki pukul," katanya.

Individu yang cenderung memiliki sikap agresif atau melakukan penganiayaan serta kekerasan terhadap orang lain perlu segera dapatkan rawatan,

Meriam berkata, mereka boleh berjumpa kaunselor atau pakar psikiatrik. Ujian psikometrik terhadap individu itu akan dijalankan bagi melihat sejauh mana tahap kesihatan mental dihadapi.

"Jika kesihatan mental pada tahap teruk, mungkin boleh dirujuk kepada pakar psikiatri untuk dapatkan rawatan bagi mengawal sikap agresif dan membuat modifikasi tingkah laku," katanya.

Berita Harian X