X
Selasa, 17 March 2020 | 9:32am
Mereka yang pernah melalui trauma gangguan seksual pada masa lampau, boleh menderita kesan psikologi lebih buruk. - Foto hiasan
Mereka yang pernah melalui trauma gangguan seksual pada masa lampau, boleh menderita kesan psikologi lebih buruk. - Foto hiasan

Trauma gangguan seksual masa lampau lebih teruk

KUALA LUMPUR: Mereka yang pernah melalui trauma gangguan seksual pada masa lampau, boleh menderita kesan psikologi lebih buruk berikutan hidup dalam ketakutan mengenangkan perkara yang sudah berlalu dan timbul perasaan tidak selamat serta takut untuk meneruskan kehidupan seperti dahulu.

Gangguan seksual adalah perlakuan lucah yang tidak direlakan oleh mangsa dan keadaan ini boleh menyebabkan gangguan seksual dialami akan sering menghantuinya.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria, berkata trauma pada mangsa disebabkan gangguan seksual itu menjadi satu bentuk buli, penindasan, penderaan, ketidakadilan sepanjang dia membesar.

“Misalnya, memanggil gelaran tidak elok akan mengingatkannya pengalaman masa lampau hingga mendatangkan kesan berganda kepada psikologinya.

“Mungkin pada masyarakat ia adalah gurauan atau perkara biasa tetapi pada mereka, ia akan menjadi lebih terkesan hingga mencetuskan masalah lain berikutan ia merendahkan emosinya,” katanya.

 Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria. - NSTP/Aizuddin Saad
Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Hazli Zakaria. - NSTP/Aizuddin Saad

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gangguan seksual dari perspektif psikiatri pada seminar kesedaran, ‘Zero’ Gangguan Seksual di Tempat Kerja di Auditorium, Kompleks Pendidikan Tuanku Ja’afar di sini, baru-baru ini.

Katanya, disebabkan itu trauma lampau itu akan mencetuskan masalah lain hingga menjadikannya semakin bertimpa-timpa dan tidak mampu dikawal.

“Ini akan menjadi punca isu kemurungan, mudah cemas dan panik hingga membawa kepada kesihatan mental.

“Lazimnya, mangsa yang dimalukan di khalayak ramai berasa terhina atau rendah diri hingga membawa gangguan stres pasca trauma (PTSD), iaitu bukan disebabkan kemalangan atau faktor lain.

“Justeru, gejala PTSD seperti mimpi buruk yang mengingatkan akan peristiwa lampau, menjadikan mereka sensitif, mengalami flashback, masalah tidur, tidak dapat berfungsi seperti sebelumnya hingga menjejaskan kesihatan mental serta kehidupan seharian,” katanya.

Katanya, meskipun puncanya secara tidak sengaja, kesan terhadap mangsa adalah berbeza mengikuti individu sama ada gangguan berulang kali, berterusan atau hanya membabitkan sentuhan.

“Malah, mangsa bimbang untuk bercerita kerana takut tiada yang mempercayai, dipersalahkan membuatkan mereka cenderung berahsia atau menyendiri.

“Sebenarnya rakan sekerja boleh membantu jika melihat seseorang itu tidak mahu sertai aktiviti pejabat, sering cuti sakit dengan cuba bertanyakan masalah kerana lazimnya mangsa tidak akan sendiri bercerita.

“Kita bimbang kerana ada mangsa cenderung bunuh diri berikutan mereka sering dihantui pemikiran negatif, dipinggirkan dan tidak berupaya cemerlang dalam tugasan,” katanya.

Sementara itu, katanya pelaku gangguan seksual mampu berubah dengan diberikan bantuan klinikal psikologi.

“Kesedaran untuk melaporkan gangguan seksual masih rendah meskipun terdapat lebih 60 dan 70 peratus kes, kerana laporan terhadap mereka itu bukan untuk menghukum tetapi sebaliknya adalah bagi membantu.

“Gangguan seksual itu sudah lama berlaku, malah yang melakukannya adalah lebih ramai daripada yang tiada penyakit mental.

“Bagaimanapun, pesakit mental sering dipersalahkan berikutan disebabkan mereka ada gejala. Sebenarnya mereka yang mempunyai moral rendah lagi berisiko menjadi pelaku.

“Gangguan seksual ini tidak sama dengan pelaku seksual yang boleh disabitkan dengan perlakuan jenayah seperti rogol atau perilaku seksual lain,” katanya.

Berita Harian X