X
Selasa, 28 Januari 2020 | 2:31pm
NORHIDAYAH bersama anak serta ibu bapanya, Robengah Yusuff dan Che Din Hamat menetap di Kampung Terang, Balik Pulau. NSTP/Danial Saad
NORHIDAYAH bersama anak serta ibu bapanya, Robengah Yusuff dan Che Din Hamat menetap di Kampung Terang, Balik Pulau. NSTP/Danial Saad

Suami isteri rela balik kampung pikul tanggungjawab

BALIK PULAU: Demi masa hadapan anak dan tanggungjawab menjaga ibu bapa, Norhidayah Che Din, 32, sanggup meninggalkan ibu kota untuk kembali ke kampung halamannya, di Kampung Terang, di sini.

Norhidayah yang sudah hampir tiga tahun tinggal semula bersama kedua-dua ibu bapa bersedia menggalas tanggungjawab itu untuk menikmati kehidupan lebih sempurna bagi mengurus orang tuanya, selain membesarkan anak di depan mata.

Beliau berkata, walaupun dianggap cabaran besar, dia dapat mengharungi peranan itu.

“Saya dapat menumpukan perhatian dan kasih sayang kepada semua insan yang dekat dengan saya. Semua yang sukar menjadi mudah.

“Cuma cabaran dihadapi apabila anak dan ibu bapa sakit secara serentak, tetapi setakat ini saya dapat menguruskan mereka dengan lancar,” katanya yang juga menjalankan perniagaan berasaskan makanan.

Hidayah antara wanita dikategorikan sebagai keluarga sandwic yang menjaga ibu bapa dalam satu masa. Beliau dan suami, Mohd Hafiz Azizan, 33, terbuka dan sepakat melalui kehidupan keluarga Sandwic dengan baik, tenang dan bahagia.

“Ketika membuat keputusan berhenti kerja, saya baru melahirkan anak sulung, Nur Naurah Orked Mohd Hafiz, 4, yang turut mengalami masalah Congenital Talipes Equino Varus (CTEV) atau dikenali sebagai Clubfoot ketika dilahirkan.

“Kaki Orked perlu diurut tiga kali sehari dan sudah tentu saya tidak boleh mengharapkan pengasuh untuk membuat semua itu.

“Demi masa hadapan Orked, saya nekad berhenti kerja, selain mahu menjaga ibu bapa yang semakin uzur di kampung,” katanya.

Norhidayah bekas wartawan BH berkata, beliau bersyukur apabila tidak mengambil masa yang lama untuk kembali mencari rezeki di kampung halaman.

Beliau menjual kuih samosa, nasi lemak pandan, selain kertas dinding secara dalam talian bagi menampung menampung perbelanjaan keluarga.

Mengulas mengenai pembahagian tanggungjawab dalam keluarga sandwic, katanya, beliau bersyukur apabila ibu bapanya masih sihat dan sering membantunya menguruskan rumah, selain berpakat menyara kehidupan keluarga secara bersama.

Pengorbanan itu nyata berbaloi apabila dapat melihat anak membesar di depan mata, selain dapat menjaga keperluan ibu bapa secara sempurna.

“Cabarannya sudah tentu kepada tenaga kerana saya perlu bangun seawal jam 5 pagi untuk membuat kuih, menguruskan rumah dan memastikan keperluan keluarga dipenuhi sebaik mungkin.

“Tetapi nasihat saya kepada mereka yang seperti saya atau mahu jadi seperti saya, jangan mudah putus asa dan ambil peluang jaga keluarga sebaik mungkin kerana peluang ini bukan semua orang dapat,” katanya.

Malah, pasangan juga perlu setuju untuk berada dalam keluarga ini supaya keharmonian dapat dicapai bagi melahirkan keluarga muhibah.

Berita Harian X