X
Selasa, 28 Januari 2020 | 2:21pm
IDA Suhani (kanan) bersama ibunya (dua dari kiri) di gerai milik mereka di Tasik Widuri, Rawang. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
IDA Suhani (kanan) bersama ibunya (dua dari kiri) di gerai milik mereka di Tasik Widuri, Rawang. NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Tidak sanggup lihat emak sewa bilik kecil

RAWANG: Menjaga dan tinggal sebumbung dengan ibu bukan saja mencabar dari sudut kewangan, malah perlu sentiasa sabar supaya tidak dianggap anak derhaka.

Bagi Ida Suhani Mohd Noor, beliau yang menjaga ibunya, Hamimah Mohd Salleh, 69, sentiasa berhati-hati dengan pertuturannya tidak mengguris perasaan orang tuanya.

“Menjaga ibu mudah untuk kita mendapat pahala, tetapi pada masa sama, mudah juga terjebak dengan dosa.

“Walau macam mana tertekan pun, emosi perlu dikawal apabila berdepan dengan ibu. Kalau tidak puas hati perlu pendam saja dan selesaikan sendiri atau berbincang secara berhemah kerana orang tua biasanya hatinya sangat sensitif,” katanya.

Semalam, BH melaporkan kira-kira 68 peratus atau hampir enam juta wanita di negara ini dengan sebilangan daripadanya golongan berpendapatan rendah dikategorikan sebagai keluarga sandwic.

Hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjelas golongan itu perlu menyara anak dan ibu bapa yang sudah uzur secara serentak.

Ida Suhani yang juga ibu tunggal, bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, terpanggil untuk membawa ibunya tinggal bersama selepas kedua-dua orang tuanya berpisah pada 1997.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak sampai hati melihat keadaan ibunya yang hanya menyewa bilik kecil tanpa pendapatan tetap.

Katanya, beliau tidak kisah dan sanggup menjaga ibunya kerana tidak mahu mengharapkan adik-beradik lain yang sudah berumah tangga walaupun dirinya sendiri terpaksa bergelut dengan masalah kewangan selepas ditinggalkan suami pada 2010.

“Saya cuba berfikiran positif walaupun duit dalam poket kering untuk belanja dapur dan tiga anak yang masih kecil ketika itu.

“Saya dahulukan bayar hutang seperti rumah, bil dan kereta berbanding keperluan lain.

“Saya bersyukur kerana dikelilingi kawan yang sanggup membantu ketika dalam kesusahan, selain majikan memahami keadaan saya yang terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk membawa anak atau ibu ke hospital,” katanya.

Bagi menambah pendapatan, Ida Suhani anak beranak berniaga laksa dan mi rebus di Tasik Widuri, berhampiran kawasan perumahan mereka.

Gerai dibuka setiap jam 5 petang oleh ibunya dengan bantuan anak kedua, Shahnaz Aliya Mohd Azri, 16.

Ida Suhani pula akan bergegas pulang pada jam 4 petang untuk membantu mereka di gerai sehingga jam 7 malam sebelum pulang ke rumah untuk berehat.

Duit hasil perniagaan digunakan untuk melunaskan bil atau keperluan lain.

“Anak sulung, Farhana Amira, 19, kini menuntut di sebuah kolej kemahiran di sekitar Kuala Lumpur dan memerlukan perbelanjaan lebih,” katanya.

“Saya sedar perlu berjimat cermat dengan perbelanjaan kami. Walaupun begitu, saya cuba membawa keluarga khususnya ibu bercuti untuk menggembirakannya,” katanya.

Berita Harian X