Rabu, 13 November 2019 | 1:36pm
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kanak-kanak bawah 12 tahun tidak sesuai tinggal di asrama

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun tidak sesuai tinggal di asrama atas alasan untuk mengajar mereka hidup berdikari atau bagi tujuan pendidikan.

Pada usia itu anak terlalu mentah untuk menguruskan diri sendiri dan tempat paling sesuai untuk mereka adalah di rumah bersama keluarga dengan bimbingan ibu bapa sepanjang masa.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata pada usia ini kanak-kanak memerlukan sentuhan kasih sayang ibu bapa bagi membolehkan proses tumbesarannya seimbang, terutama dari segi emosi dan pemakanan.

Beliau berkata, anak perlukan perhatian, bimbingan dan kasih sayang sebagai sokongan untuk membesar dengan sempurna.

Katanya, selepas mencecah usia 12 tahun ibu bapa perlu menilai semula tumbesaran fizikal dan emosi anak, mereka perlu rasional membuat keputusan sama ada membenarkan anak tinggal di asrama atau sebaliknya.

“Usia tujuh hingga 12 tahun adalah fasa usia kanak-kanak melalui proses pembesaran yang kritikal. Mereka mudah dipengaruhi rakan sebaya sekiranya ditempatkan di asrama tanpa bimbingan ibu bapa.

“Hubungan dan kasih sayang bermula dari rumah membantu mematangkan fikiran mereka.

“Berbekalkan bimbingan dari rumah, apabila keluar nanti, anak dapat menilai perkara baik dan buruk,” katanya mengulas isu kanak-kanak tujuh tahun maut akibat didera pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

Kematian pelajar tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7, baru-baru ini dipercayai akibat cemburu sehingga tercetusnya pergaduhan.

Mangsa yang juga pelajar paling muda dan bersikap manja dengan pasangan suami isteri yang juga pentadbir pusat terbabit, dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan pelajar lain.

Terdapat beberapa kesan lebam di bahagian badan mangsa dipercayai dipukul. Susulan itu, tiga pelajar berusia 13 tahun di pusat tahfiz terbabit termasuk abang tiri mangsa ditahan reman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan.

Noor Aziah berkata, ketika ini ramai ibu bapa cenderung menghantar anak ke pusat tahfiz dengan harapan anak mendapat pendidikan agama sempurna.

Katanya, pada masa sama, mereka lupa kerana rumah adalah sebaik-baik sekolah dan ibu bapa sepatutnya bertindak sebagai guru agama dalam membentuk rohani dan jasmani anak untuk menjadi insan sempurna.

Berita Harian X