Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:00am
Setia mendengar ringankan beban, kurangkan tekanan. - foto hiasan

5 orang bunuh diri sehari

DIANGGARKAN lima orang membunuh diri di negara ini berpunca daripada pelbagai sebab termasuk kegagalan mengawal emosi.

Pengerusi Befrienders KL, Justin Victor, berkata kes bunuh diri memberikan kesan negatif kepada individu lain turut mencetuskan keinginan sama.

Badan bukan kerajaan (NGO) itu menyediakan sokongan kepada mereka yang berdepan tekanan itu, mendapati keinginan membunuh diri sebenarnya bermula dengan masalah kecil dipendam dan semakin lama hingga sukar dikawal.

“Penyakit mental adalah isu kompleks tetapi masyarakat tidak memahami cara berdepan dengannya,” katanya mengulas mengenai kecenderungan individu yang dilaporkan membunuh diri sejak akhir-akhir ini.

Justin berkata, semua individu perlu memainkan peranan penting bagi mengatasi isu bunuh diri terus meningkat.


Pengerusi Befrienders KL, Justin Victor.

Orang sekeliling terutama ibu bapa, adik-beradik, saudara dan rakan perlu positif dalam usaha membantu mereka yang berdepan masalah mental.

Stigma negatif terhadap pesakit menyebabkan orang ramai enggan mendengar dan memahami apa yang dihadapi pesakit, sebaliknya menjauhkan diri daripada mereka.

“Kebanyakan orang takut berdepan pesakit mental kerana mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk memulakan perbualan.

“Kempen seperti ‘Mari Berbual’ berupaya membantu bagi menggalakkan orang ramai saling bertanya khabar antara satu sama lain,” katanya.

Orang ramai juga perlu belajar mengenali petanda seseorang mengalami masalah mental dan bagaimana cara meminta bantuan serta siapa harus dirujuk.

Psikologi Klinikal, Ellisha Othman, berkata ibu bapa perlu memerhatikan sebarang perubahan ditunjukkan anak masing-masing kerana perubahan pelik adalah sebahagian daripada petanda awal masalah mental.


Psikologi Klinikal, Ellisha Othman.

Katanya, kanak-kanak tidak pandai meluahkan apa yang mereka rasa selain perasaan gembira dan sedih. Ini selalunya dilahirkan menerusi perbuatan yang berbeza daripada biasa seperti enggan makan, kencing malam, tidak mahu ke sekolah atau tidak mahu berkawan.

“Sekiranya ada perubahan, bawa anak berjumpa pakar pediatrik terlebih dulu untuk mengenal pasti masalah sebenar sebelum dirujuk kepada pakar yang sesuai,” katanya.

Ellisha berkata, terdapat pelbagai faktor mempengaruhi masalah mental kanak-kanak termasuk tindakan membunuh diri. Ini merangkumi faktor biologi, psikologi dan sosial berbeza mengikut peringkat usia kanak-kanak terbabit.

Ibu bapa perlu rapatkan hubungan dengan anak menerusi komunikasi bagi memudahkan ibu bapa untuk mengenal pasti masalah sebenar anak.

“Mereka yang jarang bersama anak sukar mengenal pasti sebarang perubahan berlaku terhadap mereka. Ini menyebabkan masalah yang dihadapi tidak dapat diatasi lebih awal hingga boleh mengganggu kesihatan mental anak,” katanya.

Info

Cara berdepan pesakit mental:

- Bercakap dengan lebih terbuka mengenai kesihatan mental dan bunuh diri.

- Didik diri sendiri dan orang lain mengenai punca bunuh diri serta petanda awal gangguan

- Rasa simpati kepada mangsa

- Belajar mendengar dengan lebih baik.

Berita Harian X