Khamis, 26 September 2019 | 7:38am
(DARI kiri) Muhammad Faizal, Abby, Memey Suhaiza, Norman, Mariani dan Nenney Shuhaidah pada Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Saddam Yusoff

Pasangan sepakat selepas berpisah lebih bahagia

SHAH ALAM: Perceraian bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan tetapi seluruh ahli keluarga terutama anak, yang pasti terpalit keperitan akibat perpecahan orang tuanya sehingga menjejaskan emosi.

Perasaan mereka lebih tercalar apabila ibu bapa berebut hak penjagaan anak, namun ada yang melupakan terus tanggung jawab ke atas zuriat itu.

Lebih menyedihkan, ada ibu atau bapa tiri menganggap anak dengan bekas pasangan sebelum ini sebagai orang asing.

Semua polemik ini boleh diatasi sekiranya pasangan saling bertolak ansur dan bersepakat demi menjaga kepentingan zuriat mereka.

Bagi selebriti terkenal, Norman Hakim atau nama sebenarnya, Mohamed Nurhakim Zaidon, 43, lelaki perlu bermuhasabah diri dan memperbetulkan keadaan selepas bercerai dengan memastikan tidak culas menjalankan tanggungjawab sebagai bapa.

“Selepas bercerai lelaki perlu istiqamah dengan memainkan peranan, memastikan hubungan serta nafkah untuk anak tidak terputus.

“Saya sendiri akur menerima apa yang berlaku sebelum ini adalah daripada silap saya sendiri dan berusaha memastikan anak tidak menjadi mangsa dengan berebut hak penjagaan selain mendekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Terima seluruh ahli keluarga

Norman berkongsi rahsia kebahagiaan dikecapi bersama keluarga walaupun selepas bercerai dengan Arbaiyah Abdul Manan (Abby Abadi), 42, pada 2008, pada forum ‘Anakmu Anakku Jua’ sempena Seminar Perdana Kesedaran Undang-Undang Syariah di sini, baru-baru ini.

Penyatuan keluarga mereka dikatakan satu dalam sejuta, apabila mereka bersama pasangan dapat menerima anak masing-masing daripada perkahwinan terdahulu.

Seminar berkenaan dianjurkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.

Yang turut hadir, isteri Norman, Suhaiza Suhaimi (Memey Suhaiza), Abby dan suaminya, Muhammad Faizal Zakaria; Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Prof Dr Mariani Md Nor dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Nenney Shuhaidah Shamsuddin.

Norman berkata, hatinya tersentap apabila mendengar luahan dan tangisan anak sulungnya, Mohamed Danish, yang ketika itu berusia lapan tahun, yang ingin melihat keluarga mereka bersatu semula.

“Ketika itu saya berazam tidak meninggalkan mereka apatah lagi memisahkan dengan ibu kandung mereka. Tidak sampai hati melihat mereka berpelukan kerana terpaksa berpisah, ketika kali pertama saya datang mengambil mereka,” katanya.


NORMAN Hakim (kiri) bersama Faizal (kanan) serta ahli keluarga masing-masing menghabis waktu bersama di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hormati hak bersama anak

Abby berkata, selepas berpisah beliau tetap ingin tiga anak mereka dijaga oleh Norman kerana tidak mahu mereka kehilangan kasih seorang ayah.

Beliau juga tidak pernah terfikir anak akan dikasari oleh bapa atau ibu tiri mereka, kerana Norman bapa penyayang.

“Tidak pernah terlintas di fikiran untuk merebut hak penjagaan anak, malah kebanyakan masa anak bersama saya.

“Walaupun hubungan tegang, Norman masih datang ke rumah untuk menjenguk anak dan mengambil berat hal mereka,” katanya.

Memey Suhaiza, 31, berkata kebahagiaan keluarga mereka adalah hasil peranan dimainkan oleh Norman dan Abby yang mahu anak sentiasa dekat dengan mereka.

Beliau juga percaya, kebahagiaan keluarga terletak pada keharmonian pasangan selain saling bertolak ansur antara satu sama lain.

“Saya tidak berhak untuk menghalang hubungan antara bapa, ibu dan anak, malah seronok melihat mereka gembira.

Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk anak yang boleh datang pada bila-bila masa, malah kami mewujudkan aplikasi sosial khas untuk kami membincangkan mengenai anak yang dikenali sebagai Sakinah Mawaddah,” katanya.

Elak ganggu emosi

Muhammad Faizal pula berpendirian tiada istilah ‘anak tiri’ dalam kamus hidupnya, malah ketiga-tiga anak Abby dianggap seperti anak kandungnya sendiri.

“Lelaki yang ingin mengahwini ibu tunggal kena buang perasaan ego dan menerima seadanya wanita berkenaan, termasuk anak-anaknya. Mereka juga adalah amanah daripada Allah yang perlu dijaga seperti darah daging sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mariani berkata, selepas bercerai pasangan perlu memenuhi keperluan asas dan sekunder anak, bagi mengelakkan kesan ke atas emosi mereka.

“Keperluan asas termasuk pakaian, makanan, tempat tinggal yang mesti dipenuhi oleh ibu bapa, manakala keperluan sekunder pula seperti kasih sayang, penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka.

“Kajian mendapati sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi, ia boleh menyebabkan anak lelaki lebih agresif, manakala anak perempuan pula lebih neurotik, iaitu cepat bosan dan mempunyai ciri introvert, iaitu gemar mengasingkan diri dan tidak percaya pada orang lain,” katanya.

Nenney Shuhaidah pula berkata, wanita perlu mempertingkatkan pengetahuan mengenai hak mereka dan nafkah anak selepas perceraian, bagi memastikan nasib mereka terbela.

“Undang-undang di Selangor membolehkan potongan gaji dilakukan ke atas bapa yang culas membayar nafkah, termasuk harta mereka di sita.

“Sekiranya masalah tidak selesai, mahkamah boleh memanggil atau menjalankan tindakan sama ke atas wali daripada pihak sebelah bapa, seperti datuk dan bapa saudara,” katanya.

Berita Harian X