Jumaat, 20 September 2019 | 5:09pm

Anak murung sering fikir untuk bunuh diri

KUALA LUMPUR: Ibu bapa prihatin boleh mengesan perubahan tingkah laku anak yang berada dalam kemurungan kerana perubahan tingkah laku mereka berbeza secara ketara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, pengesanan awal penting bagi mengelak mereka mengalami gangguan mental lebih serius, hingga membawa kesan buruk dengan bertindak membunuh diri.


TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh ketika mengadakan sidang media selepas pelancaran 'Etiqa Untuk Pesakit Kronik' di Dewan Serbaguna, Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar. NSTP/Nik Hariff Hassan

Beliau berkata, ini termasuk memberikan perhatian kepada anak sepanjang masa selain mewujudkan hubungan sihat bermula dari rumah menerusi aktiviti yang boleh dilakukan bersama.

“Sudah sampai masanya menumpukan perhatian kepada anak terutama dalam kalangan remaja pada hujung minggu.

Jadikan setiap Ahad hari untuk keluarga dan manfaatkan masa berkualiti bersama mereka.

“Masalah mental dan tekanan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Berdasarkan 15,000 panggilan diterima menerusi Talian Kasih 15999, pemanggil meluahkan rasa kesunyian dan kecewa kesan tekanan daripada ibu bapa serta persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya.

Gangguan mental dilindungi

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran insurans pertama penyakit kritikal yang melindungi gangguan mental, Investment-Linked Ciritical Illness Plus Rider (IL CI Plus) oleh syarikat insuran dan takaful, Etiqa.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Strategi Etiqa, Chris Eng, Ketua Pegawai Agensi, Etiqa, Shahrul Azuan Mohamed, Selebriti, Datin Diana Danielle dan Pengarah Hospital Bahagia, Dr Norhayati Nordin.

Yeoh berkata, usaha melindungi pesakit mental oleh Etiqa disambut baik, bertujuan mengurangkan bebanan dalam merawat penyakit berkenaan.

IL CI Plus menawarkan perlindungan kepada empat jenis gangguan enyakit mental iaitu kesan bipolar, kemurungan major, skizofrenia atau kesan skizofrenia (halusinasi dan delusi).

Eng berkata, jumlah perlindungan antara RM1,500 sehingga RM30,000 bergantung kepada jumlah diinsuranskan.

“Pemegang polisi boleh menggunakannya untuk kos perundingan, perubatan atau kemasukan wad,” katanya.

Berita Harian X