Rabu, 28 Ogos 2019 | 12:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif, My Care Concierge Sdn. Bhd., Martin Yap Lu Hoong (tengah) melihat kakitangan melakukan demotrasi penjagaan untuk warga emas di My Care Concierge, Jaya One, Petaling Jaya. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Warga tua permata dalam keluarga

KUALA LUMPUR: Kehidupan di bandar agak berbeza berbanding di desa, kesibukan mencari rezeki dan aktiviti seharian dengan sibuk di tempat kerja menyebabkan tugas menjaga ibu bapa yang semakin berusia sering terabai.

Situasi itu ada kalanya menjadi dilema sesetengah individu mencari jalan penyelesaian, dalam mengejar kerjaya mahupun tanggungjawab menjaga orang tua yang sudah semakin uzur, mahupun ahli keluarga yang perlu mendapatkan rawatan konsisten.

Apabila situasi ini berlaku, ramai mengambil jalan singkat mendapatkan khidmat pembantu rumah atau jururawat peribadi. Namun sejauh mana kepercayaan terhadap individu tidak dikenali menjaga ahli keluarga?

Ada yang terpaksa berkorban kerjaya dengan menamatkan karier bagi memberi tumpuan kepada ibu bapa yang memerlukan pemerhatian khusus. Setiap keluarga sepatutnya berbangga kerana mereka mempunyai keupayaan menjaga ibu bapa dengan sempurna.


Ketua Pegawai Eksekutif, My Care Concierge Sdn. Bhd., Martin Yap Lu Hoong. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Seiring perkembangan teknologi digital, sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan turut melalui revolusi. Ini dibuktikan dengan penubuhan My Care Concierge yang mendapat kepercayaan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM ).

Ketua Pegawai Eksekutif, My Care Concierge Sdn Bhd, Martin Yap Lu Hoong, berkata pihaknya memikirkan pilihan penjagaan efektif dalam budaya kesibukan kerja hari ini.

Beliau berkata, apabila ahli keluarga mula berumur, mereka memerlukan perhatian khas termasuk bantuan penjagaan diri iaitu Activities of Daily Living (ADL).

Bagi memenuhi keperluan itu, Yap berkata, program penjagaan profesional perlu melalui transformasi apabila melihat ramai warga emas memilih menghabiskan masa di rumah sendiri.

Beliau berkata, dalam erti kata lain, proses penuaan di tempat (ageing-in-place) yang boleh mempengaruhi fizikal, mental dan emosi.

Katanya, ramai memilih mengupah individu mengurus warga emas di rumah, bagaimanapun, persoalan adakah pembantu rumah dan pengasuhan warga emas berkemahiran menguruskannya.


Ketua Pegawai Eksekutif, My Care Concierge Sdn. Bhd., Martin Yap Lu Hoong (tengah) melihat kakitangan melakukan demotrasi penjagaan untuk warga emas di My Care Concierge, Jaya One, Petaling Jaya. - Foto Khairul Azhar Ahmad

“Konsepnya mudah bagi membezakan peranan kedua-duanya, pembantu rumah menjaga barangan, sementara pengasuh, ju- rurawat dan doktor menjaga orang.

“Penjaga profesional dilatih melaksanakan tugas bukan perubatan seperti membantu membalut luka, urusan di tandas, mobiliti, mengesan tanda penting penyakit, memastikan ubat-ubatan diambil tepat pada masa dan bantuan terhad lain, selain membantu pesakit menjalankan ADL sementara anak bekerja.

“Perkhidmatan dikendalikan jururawat, fisioterapi dan penjaga ke rumah untuk menguruskan ADL. Masing-masing mahir menyediakan khidmat rawatan khas pemulihan dementia, strok, kanser dan alzheimer selepas keluar hospital dan memerlukan prosedur terapi.

“Misi kami menyediakan pilihan penjagaan profesional berkualiti dan selamat di tempat tinggal mereka. Ini adalah yang pertama diperkenalkan negara ini dan mendapat sokongan agensi kerajaan,” katanya.

215 dibaca
Berita Harian X