Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:13am
Tutor peribadi antara pekerjaan ekonomi GIG menjadi pilihan dalam kalangan graduan. - Foto hiasan

Ekonomi GIG jamin lebih masa bersama keluarga

KUALA LUMPUR: Lazimnya pelajar lepasan ijazah mahupun graduan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara, mengharapkan memperoleh pekerjaan di pejabat atau di syarikat gergasi dengan gaji lumayan, sekali gus membelakangi bebanan tugas bakal dipikul, perlu bekerja lebih masa hingga tiada waktu untuk diri serta keluarga.

Menyedari perkara itu sering berlaku dalam kalangan anak muda berkelulusan tinggi, seorang ibu yang juga kakitangan agensi kerajaan, Wan Norshakila Abd Satar, menyarankan pelbagai pilihan tugas dikenali pekerjaan ekonomi GIG.

Beliau berkata, kini terdapat aliran baharu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi Y. Ekonomi GIG popular di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kini tular di Asia dan Malaysia tidak terkecuali.

“GIG bermaksud ‘gigue’ dalam bahasa Perancis menyediakan persekitaran kerja kurang tekanan atau mungkin tiada langsung, selain memberi peluang graduan memperoleh pendapatan lumayan berbanding bekerja dengan syarikat.

“Anak muda tidak perlu berkerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, bahkan jika diurus dengan betul, produktiviti membuahkan hasil.

“Antara pekerjaan ekonomi GIG yang kerap menjadi pilihan dalam kalangan graduan adalah tutor peribadi dan penulis sambilan,” kata Wan Norshakila ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Menurut satu laporan, AS bakal mempunyai 40 peratus daripada rakyatnya terbabit dengan ekonomi GIG menjelang 2020. Justeru, hal ini sejajar perkembangan teknologi seperti pembangunan aplikasi yang pantas dan juga sifat ekonomi GIG itu sendiri sangat fleksibel.

Teruskan kehidupan berkeluarga

Wan Norshakila berkata, dia begitu mementingkan soal pendidikan anak. kejayaan mereka melanjutkan pengajian hingga ke luar negara begitu menggembirakan.

“Selepas menamatkan pengajian saya juga mengharapkan mereka dapat berusaha memilih kerjaya terbaik bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya dan suami Hasnuden Hashim, sentiasa memastikan anak meneruskan kehidupan bersama keluarga dengan selesa.

Katanya, tidak dinafikan kaedah bekerja sendiri ini masih belum diterima semua pihak. Kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak mereka memulakan kerjaya sebaik menamatkan pengajian sama ada dengan bekerja di sektor awam mahupun swasta.

“Perubahan teknologi menjadikan peluang pekerjaan pelbagai. Masing-masing berupaya menjana pendapatan tanpa perlu keluar rumah atau berkerja secara konvensional.

“Sebagai ibu, kita perlu memberi sokongan kepada mereka untuk meneruskan tugas mengikut kehendak dan keperluan semasa,” katanya yang bangga kerana anaknya mampu berdikari tanpa terikat dengan pekerjaan makan gaji dengan perolehan lumayan.

Kendali kelas tuisyen

Muhammad Hasnuden, 29, anak sulung Wan Norshakila, memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, University of Adelaide, Australia kini selesa mengendalikan kelas tuisyen untuk subjek Matematik, sesuai dengan kelulusannya.

Sekembali dari Australia beliau menjawat jawatan sebagai jurutera, tetapi mengambil keputusan bekerja sendiri, sekali gus mempunyai lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga, selain memperoleh pendapatan lumayan.

Kini, Muhammad Muhaimin menyambung pengajian pada peringkat ijazah sarjana dalam bidang analisis data.

“Saya mendapati peluang menyediakan khidmat tutor menawarkan peluang pekerjaan dengan perolehan lumayan. Saya perlu mendalami silibus semasa sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Ibu bapa kini tidak berkira, mereka menyediakan peruntukan tambahan bagi mendapatkan khidmat tutor, terutama bagi anak yang akan menduduki peperiksaan.

“Ini adalah peluang yang perlu diraih, terutama bagi graduan dalam menjana pendapatan berdaya saing,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sementara itu, Muhammad Muhaimin yang kini tutor sepenuh masa, berkata beliau bersyukur dengan pekerjaan sekarang kerana dapat memanfaatkan pelbagai kebolehan diri dipelajari sebelum ini.

Lebih masa bersama keluarga

“Walaupun jaminan pekerjaan sama ada kontrak atau tutor itu tidak tetap, saya gembira dengan jumlah masa terluang bersama keluarga lebih banyak.

“Selain Matematik, saya mengajar pelbagai subjek sains seperti Biologi, Kimia dan Fizik. Saya mengajar bukan sahaja subjek dipinta ibu bapa, tetapi mengenai kehidupan secara menyeluruh. Sedikit sebanyak memenuhi aspek Kemahiran Berfikir Aras Tertinggi atau KBAT,” jelasnya lagi.

Selain tutor peribadi, Muhammad Muhaimin turut melakukan pelbagai pekerjaan seperti jurutera kontrak dan penulis sambilan bagi menambah sumber pendapatan.

Baginya, selagi usia masih muda dan mempunyai kesihatan yang baik, anak muda harus mencuri pelbagai peluang dan tidak terlalu mengharapkan pekerjaan di sektor korporat.

Rakannya, Farahani Husni, 26, turut mengambil pendekatan menjana pendapatan dengan menganjurkan program tuisyen peribadi.

Beliau sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dalam bidang sains kuantitatif.

Dia yang berada di semester akhir menikmati kelebihan ekonomi GIG dengan menjadi tutor separuh masa.

“Ramai ibu bapa memikirkan persediaan anak menghadapi peperiksaan penting untuk mencapai keputusan cemerlang dan mereka sanggup membiayai tutor peribadi demi mencapai tujuan itu.

“Saya mengajar Matematik kepada calon yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekitar Lembah Klang.

“Saya lebih suka kehidupan sekarang, selesa bekerja sendiri dari rumah walaupun ada tawaran bekerja di pejabat,” katanya.

335 dibaca
Berita Harian X