Ahad, 18 Ogos 2019 | 4:41pm
TIMBALAN Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong. NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Modul kursus kahwin dilengkapi amalan gaya hidup sihat

SERI KEMBANGAN: Pengisian modul kursus perkahwinan sedia ada perlu diperkemas dengan memberi penekanan kepada amalan gaya hidup sihat dalam usaha melahirkan generasi muda lebih cergas.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata program atau modul sampingan dalam kursus perkahwinan itu adalah bertujuan mendidik bakal pasangan menjaga kesihatan serta mengamalkan gaya hidup sihat selepas berkahwin.

Katanya, kementerian akan mencadangkan modul penjagaan kesihatan itu bagaimanapun setakat ini masih peringkat ‘pilot project’ sebagai percubaan dan diharap dapat mengubah mentaliti komuniti.

“Kita mahu menggalakkan konsep pendidikan awal kanak-kanak dan amalan gaya hidup sihat bermula di rumah. Kami sedang mengusahakannya (modul ini) supaya masyarakat dapat menimba banyak ilmu pengetahuan dari kursus berkenaan

“Cadangan ini antara inisiatif mengurangkan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan hiperkolesterol selain mengurangkan masalah berat badan berlebihan atau obesiti yang semakin meruncing dalam kalangan penduduk kini,” katanya.

Dr Chong berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Persidangan Dunia mengenai Senaman Perubatan (World Conference on Exercise Medicine) di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penaungnya, Raja Datuk Seri Yong Sofia Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah, Ketua Misi dan wakil Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline.

Beliau berkata, kementerian menyedari ibu bapa yang mengamalkan gaya hidup sihat sama ada dari sudut pengambilan makanan dan amalan riadah harian dapat melahirkan anak lebih sihat.

Elak sajian larut malam

Beliau berkata, amalan gaya hidup tidak sihat lazim dilakukan terutama menikmati sajian hingga larut malam, enggan bersenam selain lebih banyak menghabiskan masa dengan menggunakan gajet atau permainan video menjadikan anak-anak berada dalam persekitaran tidak sempurna.

“Apa yang dilakukan ibu bapa akan menjadi contoh terawal sepanjang anak membesar,” katanya

Beliau berkata, Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan (NHMS), Institut Kesihatan Awam melaporkan seramai

5.6 juta penduduk tempatan berhadapan masalah berat badan berlebihan, daripada jumlah itu pula 3.3 juta obesiti, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara tertinggi berhadapan masalah berkenaan.

“Kajian juga mendapati 94 peratus individu dewasa dewasa kurang mengambil buah-buahan dan sayuran, kurang minum susu dan mengambil produk tenusu (76 peratus).

“Laporan juga mengesan tabiat kanak-kanak mengambil makanan segera sekurang-kurangnya sekali seminggu (46 peratus) dan pelajar minum minuman berkarbonat sekurang-kurangnya sekali sehari (36 peratus),” katanya katanya.

Terdahulu, persidangan WCEM kali ketiga disertai peserta dari 32 negara, membincangkan isu kesihatan dan gaya hidup secara seimbang dan sihat.

Inisiatif ini merentasi sektor perumahan yang berperanan memenuhi empat ‘System Based Approach’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bertujuan mewujudkan masyarakat aktif sejajar tindakan Perancangan Global aktiviti fizikal 2018 -2030

Pelan tindakan ini adalah sebahagian 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bertujuan mengurangkan amalan pasif fizikal sehingga 10 peratus menjelang tahun 2025 hingga 2030

INFO:

Kadar obesiti

* 1 dalam 2 orang dewasa

* 1 dalam 4 orang pelajar sekolah menengah

* 1 dalam 3 orang murid sekolah rendah

153 dibaca
Berita Harian X