Jumaat, 15 March 2019 | 9:32am
Dari kiri, Acp Choo Lily, Nor Fadilah Mohamed Nizar , Siti Fatimah Abdul Rahman dan Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim pada Forum Hari Wanita 2019: Menangani Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Jiran prihatin lindungi mangsa keganasan rumah tangga

Kuala Lumpur: Orang ramai diminta segera membuat aduan dan jangan takut jika ada seseorang, termasuk jiran mereka didera bagi mengelak kejadian lebih buruk hingga meragut nyawa mangsa.

Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner (ACP) Choo Lily, berkata sehingga hari ini belum ada lagi rekod pengadu berdepan risiko bahaya.

Katanya, identiti individu yang membuat laporan akan dirahsiakan daripada pengetahuan umum malah keselamatan pengadu juga terjamin.

“Sejak saya mengendalikan dan menyiasat kes keganasan rumah tangga, belum pernah pemangsa mengambil tindakan terhadap orang yang membuat laporan.

Bantuan, sokongan

“Malah pengadu boleh dilindungi di bawah Program Perlindungan Saksi dan PDRM juga boleh meronda kawasan perumahan terbabit,” katanya.

Beliau mendedahkan ini ketika forum Gangguan Seksual dan Keganasan Rumahtangga anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), sempena sambutan Hari Wanita 2019, baru-baru ini.

Lily berkata, sesiapa saja boleh melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perlakuan keganasan rumah tangga.

Malah pengadu tidak perlu hadir ke balai polis untuk membuat laporan sekiranya takut untuk berbuat demikian sebaliknya hanya perlu menghubungi talian 999 atau Kasih 15999.

Ini kerana polis yang menerima panggilan atau aduan itu boleh membuat laporan mengenai aduan berkenaan.

“Bantuan dan sokongan orang sekeliling terhadap mangsa bagi menghentikan keganasan terhadap mereka.

“Sekiranya mangsa mengadu, jangan ‘menghukum’ mereka atau memberi komen yang tidak membina, ” katanya.

Skop keganasan rumah tangga

Lily berkata, skop keganasan rumah tangga tidak hanya terhad kepada pasangan suami isteri tetapi juga anak, adik-beradik, warga emas, malah pasangan kekasih, termasuk mereka yang bersekedudukan akan disiasat di bawah keganasan rumah tangga.

Kebanyakan mangsa hanya tampil membuat aduan apabila tidak sanggup melihat anak turut menjadi mangsa penderaan suami.

Sebelum ini, mereka hanya reda walaupun didera kerana takut kehilangan tempat bergantung, malah ada menerima penderaan berkenaan kerana percaya ia berlaku disebabkan kesalahan mereka sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEiWA), Nor Fadilah Nizar, berkata ramai yang tidak percaya keganasan rumah tangga boleh berlaku terhadap wanita berpendidikan tinggi dan golongan profesional.

“Daripada 10.8 juta wanita berkerjaya di negara ini, saya percaya ramai yang menjadi mangsa dera sama ada fizikal, kewangan dan mental.

Mangsa penderaan enggan tampil

“Malangnya, mangsa penderaan enggan tampil kerana malu, tambahan pula ramai tidak percaya golongan profesional seperti doktor dan jurutera juga didera suami,” katanya.

Beliau berkata, stigma takut menjadi janda turut menghalang wanita mangsa dera tampil membuat aduan yang mana akhirnya menemui jalan buntu.

Keganasan rumah tangga boleh memberikan kesan ke atas produktiviti di tempat kerja selain kesan ke atas psikologi yang menjejaskan hubungan rakan sekerja dan kakitangan bawahan.

Justeru, orang ramai perlu memberikan sokongan dengan bersikap terbuka apabila mangsa mengadu mereka didera suami.

Berita Harian X