Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:08pm
FOTO hiasan

Pemeriksaan sendiri payudara tingkat peluang rawat barah

KUALA LUMPUR : Tindakan pesakit barah payudara menangguhkan rawatan selepas disahkan menghidap kanser antara faktor mereka gagal menerima rawatan terbaik seperti disarankan pakar.

Mereka lebih selesa mendapatkan pandangan rakan, saudara mara dan maklumat daripada media sosial yang menawarkan produk kesihatan sebagai rawatan alternatif.

Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ros Nor Suzana Ahmad Bustamam, berkata pesakit hanya datang ke hospital apabila barah sudah melarat dan berada pada tahap lewat hingga menyebabkan rawatan kurang berkesan.

Beliau yang juga pengerusi kempen pencegahan barah payudara, HKL Pink Oktober 2018, berkata ketika itu keadaan serangan sudah berada pada tahap parah hingga peluang mereka sembuh tipis, akhirnya gagal diselamatkan.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pesakit sudah dimaklumkan lebih awal mengenai serangan berkenaan dan perlu mengambil langkah segera menjalani rawatan seperti disarankan pakar,” katanya pada program kesedaran barah payudara Pink Oktober anjuran HKL di sini, baru-baru ini.

Dr Ros Nor Suzana berkata, masih ramai wanita tidak menyedari kepentingan mengesan awal barah payudara sehingga meningkatkan peluang mereka untuk sembuh.

Beliau berkata, jika serangan dapat dikesan pada peringkat awal, iaitu pada tahap satu dan dua, peluang pulih boleh dicapai sehingga 90 peratus.

“Pengesanan awal boleh dilakukan menerusi pemeriksaan sendiri payudara (BSE) bagi mengesan simptom barah penyakit berkenaan, selain ujian saringan barah payudara seperti mamogram,” katanya.

Kanser nombor satu negara

Barah payudara adalah kanser nombor satu negara dengan risiko seorang daripada 19 wanita menghidapnya.

Berdasarkan statistik kebangsaan tahun lalu, apabila wanita disahkan menghidap kanser payudara, kira-kira 43 peratus iaitu empat dalam 10 wanita sudah mencapai kanser tahap tiga dan empat.

Kebarangkalian untuk pulih pada tahap tiga dan empat amat rendah berbanding tahap satu dan dua.

Konsep dekati masyarakat

Menyedari masalah ini, Dr Ros Nor Suzana berkata, konsep program Pink Oktober diperkemaskan dengan warga kerja hospital turun sendiri ke kawasan perumahan mendekati masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mengesan kanser lebih awal.

“Selain pemeriksaan payudara dan ujian mamogram serta pemeriksaan kesihatan secara umum, pengisian lain termasuk sesi ceramah dan berkongsi pengalaman dengan pesakit kanser,” katanya.

Tinjauan BH di Perumahan Awam Seri Kedah sempena program kesedaran barah payudara Pink Oktober, mendapati rata-rata wanita muda yang sudah berkahwin tidak menjadikan BSE sebagai amalan, malah ada yang tidak mengetahui mengenainya.

Dua daripada tiga wanita muda yang ditemui mengakui mereka tidak pernah mendengar mengenai prosedur BSE perlu dilakukan secara berkala bagi mengesan gejala awal serangan kanser payudara.

Suri rumah, Normasliza Shamsuddin, 23, berkata beliau menyedari kanser payudara boleh membawa maut, tetapi tidak tahu cara melakukan BSE bagi mengesannya.

“Saya biasa mendengar barah payudara tetapi memang tidak tahu bagaimana melakukan pemeriksaan sendiri dan di mana sepatutnya pemeriksaan saringan barah berkaitannya perlu dilakukan.

“Ketika mengandung anak sulung sebelum ini, jururawat ada menjalani memeriksa payudara tetapi tidak memaklumkan perlunya melakukan pemeriksaan itu secara bulanan,” katanya.

Seorang lagi penghuni yang ditemui Zubaidah Ahmad, 26, mengakui kali terakhir menjalani pemeriksaan payudara ketika mengandungkan anak keempat di HKL.

“Saya pernah mendengar mengenai BSE, tapi tidak pernah buat sendiri sebab tak tahu caranya. Jadi saya tak pernah kisah untuk mengetahui perkara itu secara terperinci.

“Barah payudara memang menakutkan, saya pernah melihat seorang jiran diserang, penderitaannya menyebabkan saya bimbang,” katanya.

Bagi Shahida Johari, 30, pula beliau menjadikan BSE sebagai amalan setiap bulan kerana menyedari kepentingannya sebagai kaedah terbaik mengesan jika ada ketulan atau perubahan luar biasa pada payudara.

“Saya lakukan BSE ketika mandi setiap bulan, mengikut apa yang diajar jururawat. Saya perlu peka mengenai perkara itu kerana seorang kakak saya pernah diserang barah payudara tahap dua.

“Kami bersyukur dia sihat selepas menjalani pembedahan membuang barah pada 2002,” katanya.

Berita Harian X