Ahad, 8 Julai 2018 | 3:22pm
Dr Muzaffar Syah Mallow. - Foto ihsan pembaca
Dr Muzaffar Syah Mallow. - Foto ihsan pembaca
KERATAN akhbar BH Ahad, 1 Julai lalu (kanan) dan BH terbitan November 2013.
KERATAN akhbar BH Ahad, 1 Julai lalu (kanan) dan BH terbitan November 2013.

Isu tidak pernah berkesudahan

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memasukkan isu perkahwinan di bawah umur di dalam Akta Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi melindungi golongan itu daripada serangan seksual.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow, berkata isu ini tidak pernah berkesudahan dengan kes terbaharu membabitkan lelaki berusia 41 tahun berkahwin dengan kanak-kanak berumur 11 tahun.

Katanya, dalam menangani masalah jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak, kerajaan baru di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu menangani dengan lebih serius.

Kerajaan seharusnya lebih proaktif merangka tindakan bagi mengelak ia menjadi barah di dalam masyarakat dan berada di luar kawalan.

"Antara langkah itu adalah menjadikan perkahwinan bawah umur tanpa mengikuti peruntukan undang-undang sedia ada dianggap sebagai jenayah di bawah Akta 792," katanya.

Beliau mengulas isu peraih getah berusia 41 tahun di Kelantan mengahwini seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dari selatan Thailand, baru-baru ini, mencetuskan polemik apabila ia disifatkan bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam.

Perlu perhatian serius

Beliau berkata, Akta 792 sudah dilengkapi dengan pelbagai tatacara dan proses yang sesuai dengan suasana masa kini dalam melindungi golongan kanak-kanak daripada kegiatan jenayah oleh pihak tertentu.

"Akta ini wajar digunakan kerana ia mampu bagi melindungi golongan itu daripada menjadi mangsa jenayah seksual daripada pihak tidak bertanggungjawab seperti aktiviti perlindungan kanak-kanak, pornografi kanak-kanak dan serangan seksual," katanya.

Bagaimanapun, Akta 792 dilihat tidak secara khusus menyentuh perkara yang berkaitan dengan perkahwinan bawah umur.

"Tidak dapat dinafikan, isu atau masalah perkahwinan membabitkan golongan bawah umur memerlukan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia membabitkan masa depan golongan itu.

"Mengikut peruntukkan undang-undang sedia mengikut Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum perkahwinan bagi lelaki adalah 18 tahun manakala perempuan berumur 16 tahun.

"Perkahwinan di bawah umur hanya dibenarkan jika mendapat kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka. Ini jelas diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Enakmen berkenaan," katanya.

Buka mata masyarakat

Muzaffar berkata, bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Langkah ini dapat membuka mata masyarakat supaya memandang isu perkahwinan bawah umur perlu diambil perhatian serius.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 10 dan seksyen 21(2) Akta 164 terbabit.

"Manakala hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun pula boleh dikenakan tuduhan rogol mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya.

"Isu perkahwinan bawah umur tidak boleh dipandang ringan oleh mana - mana pihak kerana ia boleh memberi impak negatif jika tidak ditangani segera.

"Institusi perkahwinan memerlukan pasangan yang memiliki tahap kematangan tinggi bagi menjamin kehidupan keluarga yang baik.

"Tahap kematangan yang tinggi jarang dimiliki dalam kalangan mereka yang di bawah umur," katanya.

Perkahwinan di bawah umur memberi impak dari aspek kesihatan seperti mengandung di usia terlalu muda, terdedah pelbagai risiko seperti keganasan rumah tangga, penipuan, paksaan, mangsa penganiayaan dan pengabaian.

"Oleh itu, usaha bersepadu perlu digerakkan bagi menangani isu ini. Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan secara terperinci mengenai perkara terbabit," katanya.

Berita Harian X