Pereka perlu mempunyai identiti dan kreatif dalam mencipta kelainan untuk memastikan hasil karya mereka mendapat perhatian dan sambutan penggemar fesyen.
Pengasas dan pereka jenama Ummiraz, Azura Shafawi, 43, berkata beliau sentiasa mengutamakan rekaan dan kualiti untuk memancing minat pelanggannya.
Katanya, selain rekaan menarik, material fabrik digunakan turut diambil perhatian, sebagai contoh material fabrik di inspirasi daripada Yayasan Warisan Johor dengan memberi perincian kepada penggunaan benang Johor.
Azura berkata, jenamanya yang dibangunkan sejak 2015, mahu membawa sesuatu yang berbeza iaitu dengan menggunakan fabrik khas, kain benang Johor yang jarang diketengahkan.
"Lazimnya kita lebih melihat banyak rekaan fesyen menggunakan songket atau batik. Jadi saya mahu kelainan dan mahu jadikan rekaan pakaian ini unik menerusi penggunaan fabrik dan reka bentuk.
"Dengan kain benang Johor, saya hasilkan pakaian sopan dengan teknik asimetri untuk melengkapkan rekaan saya.
"Kami ingin mencuba membawa rekaan ini ke pameran antarabangsa suatu hari nanti, " kata ketika ditemui pada majlis Ulang Tahun ke-30 Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA), di Balai Seni Negara, baru-baru ini. .
Tahun ini, dijangka tumpuan penggemar fesyen ke arah pakaian sopan, tambahan pula semakin ramai pereka mengguna konsep ini dalam rekaan mereka, selain mendapat sambutan hangat masyarakat.
Ikut kehendak pelanggan
Bagi pereka fesyen, Michael Liew, berkata rekaan beliau mempunyai mahu mempamerkan kelainan dengan mengetengahkan konsep pakaian sedia dipakai, yang turut mendapat permintaan ramai daripada penggemarnya.
"Kebiasaannya, pelanggan akan beritahu corak, warna atau material yang dimahukan untuk tempahan.
"Contohnya, pelanggan mahu gambar haiwan, pemandangan dan bunga yang akan dilukis pada pakaian atau beg sebagai motif rekaan.
"Semua rekaan saya adalah dihasilkan dengan kerja tangan, iaitu menggunakan berus dan cat arkilik mengikut beberapa teknik. Hasil rekaan saya ini sangat istimewa kerana ia disiapkan khas atau eksklusif mengikut tempahan pelanggan," katanya.