Isnin, 9 Januari 2023 | 3:18pm
mohd Fuad mampu menyiapkan 30 hingga 40 helai kain batik blok.- NSTP/Nazdy Harun
mohd Fuad mampu menyiapkan 30 hingga 40 helai kain batik blok.- NSTP/Nazdy Harun
Pembuatan batik menggunakan cara manual, membuatkan ramai golongan muda tidak berminat menceburi bidang ini. - NSTP/Nazdy Harun
Pembuatan batik menggunakan cara manual, membuatkan ramai golongan muda tidak berminat menceburi bidang ini. - NSTP/Nazdy Harun

Batik blok mungkin berkubur

Kuala Nerus: Permintaan kain batik blok masih tinggi, namun pembuatannya semakin berkurangan berikutan proses pembuatan dijalankan secara manual dengan memerlukan tenaga manusia sepenuhnya.

Pengusaha, Maimun Zainab Chik, 72, dari Seberang Takir, di sini, berkata kain batik blok masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat setempat dan pengunjung luar.

Menurutnya, kekangan utama adalah tenaga kerja kerana golongan muda tidak begitu minati untuk melakukan kerja tangan seperti ini.

Katanya, selain itu harga bahan mentah bagi membuat kain batik juga semakin meningkat mendorong pengusaha ada yang tidak meneruskan perbuatan itu lagi.

"Arwah suami Wan Azhar Wan Awang, yang meninggal dunia 17 tahun lalu mengusahakan perusahaan membuat kain batik blok sejak tahun 1970-an dan permintaan terhadap kain sarung itu masih tinggi hingga kini.

"Namun, kekurangan tenaga kerja menyebabkan pengeluaran kain batik terpaksa dihadkan dan kini hanya seorang pekerja yang membantu menyiapkan kerja di bengkel," katanya.

Menurutnya, batik buatan tangan ini sememangnya berbeza dengan batik yang dihasilkan dengan menggunakan mesin dan ketahanannya juga terbukti.

Pekerjanya, Mohd Fuad Musa, 55, berkata, sehari dia hanya mampu menyiapkan 30 hingga 40 helai kain batik itupun bergantung kepada tahap kesukaran bunga ditekap pada kain.

"Sehelai kain batik perlu melalui proses tertentu sebelum ia siap dan proses berkenaan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya.

"Saya akui, pembuatan batik blok kini semakin malap dan sebagai contoh tempat kerja saya ini satu ketika dahulu begitu meriah kerana mempunyai hampir 20 pekerja.

"Namun, semakin hari tiada lagi pelapis ingin meneruskan kerja membuat batik ini hingga tinggal saya seorang di bengkel ini meneruskan kerja dilakukan," katanya.

Golongan muda tidak begitu minat mempelajari dan mendalami ilmu pembuatan kain batik blok dan tidak mustahil perusahaan ini bakal berkubur sekiranya pelapis sukar dicari.

Kerumitan menghasilkan sehelai kain menyebabkan mereka kurang berminat bekerja di sektor ini.

Proses menghasilkan sehelai kain batik termasuk mencelup kain putih dengan pewarna, menekap blok yang mempunyai lilin ke atas kain, membuang warna, membuang lilin, merebus kain dan menjemur.

Setiap bunga pada kain memerlukan penggunaan dua hingga tiga blok berasingan sebelum motif bunga dapat ditonjolkan pada sehelai kain.

"Begitu juga dengan blok digunakan diperbuat daripada tembaga dan besi dengan harga blok melebihi RM300 seunit.

"Istimewanya batik Terengganu, dihasilkan sepanjang dua meter ini dijual tanpa dijahit dan pembeli perlu menjahit sendiri untuk dipakai atau digunakan," katanya.

Kini, sehelai kain batik blok dijual dengan harga RM30 atau lebih bergantung kepada kualiti kain dihasilkan.

Berita Harian X