CANTIK di mata dan indah dipakai. Keunikan seni tenun kain Pua Kumbu dihasilkan kaum Iban, di Sarawak mendapat perhatian dunia khususnya peminat seni tenun kerana kehalusannya, selain pembuatannya penuh cerita mitos.
Di sebalik keindahan kain warisan ini, ada banyak pantang larang dikaitkan dengan pembuatannya.
Pua Kumbu karya seni dianggap suci bagi kaum Iban mempunyai motif dihasilkan berkait rapat dengan alam semula jadi yang menjadi asas kehidupan mereka.
Asalnya, Pua Kumbu dihasilkan dengan empat motif utama bagi melambangkan semangat alam semula jadi. Bagi menghasilkannya pula, bukan calang-calang wanita yang mampu menyiapkan hasil seni halus ini.
Menurut kepercayaan mereka, tenunan Pua Kumbu hanya boleh dihasilkan oleh wanita yang mendapat arahan daripada Petara (tuhan) melalui mimpi.
Mereka percaya Pua Kumbu memiliki kuasa spiritual yang tersendiri dan mempunyai hubungan dengan kuasa ghaib.
Pua Kumbu dikategorikan sebagai artifak Iban yang paling suci. Motif tenunan Pua Kumbu tercipta daripada pengaruh Ngayau kerana menggunakan nama dewa dewi dalam mitos kaum Iban.
Antara nama motif Ngayau adalah motif Lelanjang Bungai Nuing, gumbang Besimpan, Ringka Antu Pala, Lang Tuai, Sepit Api dan Gajah Meram.
Motif dikaitkan dengan kepercayaan
Seni tenun dan wanita Iban pula ibarat sebuah perlembagaan yang harus ada dalam menggambarkan cita-cita menjadi insan lengkap dan ideal untuk bersaing dalam sistem peneringkatan atau penilaian dalam kalangan mereka.
Bagi wanita Iban, jika mempunyai kebolehan menenun Pua Kumbu, mereka selayaknya ada dalam kalangan kelompok hierarki tertentu.
Reka cipta motif Pua Kumbu membabitkan unsur haiwan dianggap paling suci untuk motif Pua Kumbu yang lain.
Selain motif makhluk mitologi atau zoomorf yang diolah kepada bentuk lebih abstrak dalam penghasilan Pua Kumbu dikatakan berkait rapat dengan kepercayaan terhadap kewujudan haiwan suci itu.
Corak dan simbol haiwan dipercayai masyarakat Iban memiliki kuasa luar biasa yang tersendiri, kekuatan dan kesucian haiwan itu adalah berdasarkan kepada jenis makhluk suci dalam tradisi lisan diturunkan kaum itu dari generasi ke generasi.
Lazimnya, tenunan motif makhluk mitologi dalam seni tenunan Pua Kumbu tidak dilakukan sesuka hati melainkan mendapatkan mimpi daripada alam ghaib.
Mimpi itu sebuah perintah mutlak daripada Petara (tuhan) yang harus dilaksanakan bagi menjamin kesejahteraan dan kedamaian hidup masyarakatnya.
Corak itu hanya dapat ditenun dan dihasilkan oleh wanita pakar yang disebut sebagai Indu Ngar.
Cerita di sebalik pantang larang
Menyoroti pembuatan Pua Kumbu, empat wanita dari Rumah Panjang Gare, di Ulu Kapit, Sarawak, memang terkenal dengan usaha mereka mempromosikan hasil seni tradisi nenek moyang ke seluruh dunia, selain 'masak' dengan pantang larangnya.
Mula berjinak-jinak dengan seni tenun seawal usia enam tahun, Injan anak Lekong, 49, berkata rasa sayang terhadap seni warisan ini menarik minatnya untuk belajar selok-belok penyediaan kain Pua Kumbu daripada ibunya.
"Kerja membuat Pua Kumbu kelihatan seperti kerja wanita lain, tetapi ia sangat teliti dan banyak pantang larang," kata ibu kepada empat anak ini.
Bermula dari proses awal mengikat corak pada benang, dan mewarna benang, pembuat Pua Kumbu dilarang bergaduh dengan orang lain dan tidak boleh marah kepada sesiapa.
"Jika kami ada perasaan marah atau bergaduh ketika proses menenun, kami percaya si pemakai akan mendapat kesan tidak baik seperti lesu tubuh badan, menjadi pemarah dan mudah sakit," katanya.
Kesan langgar pantang larang
Menurut Injan, jika corak Pua Kumbu dihasilkan bermotifkan haiwan, si pembuat perlu menyiapkan keseluruhan corak haiwan sebelum berhenti untuk berehat.
"Jika si pembuat mahu menghasilkan corak harimau contohnya, di peringkat mengikat tali untuk corak bentuk kepala haiwan itu, dia perlu siapkan corak sepenuhnya sehingga sempurna dan tidak boleh bercakap-cakap dengan orang lain sehingga peringkat ikat corak itu selesai," jelasnya.
Kalau si pembuat melanggar pantang, mereka percaya si pembuat akan jatuh sakit dan tidak mampu berbuat apa-apa.
"Pernah berlaku di kampung saya si pembuat Pua Kumbu bercorak haiwan itu melanggar pantang, dia jatuh sakit (demam) dan sejak itu kami tidak lagi menghasilkan Pua Kumbu bermotifkan haiwan," katanya.
Namun, Injan dan kakaknya Dayo anak Lekung, 53, aktif menghasilkan kain Pua Kumbu bermotifkan bunga dan alam semula jadi.
"Kami boleh hasilkan corak mengikut cita rasa pelanggan, namun kami akan menolak jika ada permintaan menghasilkan motif haiwan menunjukkan ciri-ciri haiwan dengan lengkap bagi mengelakkan terlanggar pantang larang," katanya.
Proses pembuatan Pua Kumbu
Penenun muda, Ngiyah Assad, 29, berkata beliau pernah mendengar kejadian seorang remaja melanggar pantang ketika proses pembuatan Pua Kumbu.
"Cerita orang dulu-dulu, ada seorang budak (remaja) sedang melihat proses pembuatan Pua Kumbu terlanggar atau tersentuh kayu dipanggil beliak. Akibatnya dia dibaham buaya," katanya.
Ngiyah berkata, bagi mematahkan jika terlanggar pantang itu, sesiapa tersentuh atau terlanggar kayu beliak ini perlu menggigit kayu bagi mengelakkan daripada dibaham buaya.
Ambil masa lama siapkan tenunan
Penggiat seni tenun ini, Nancy Anak Ngali, 63, berpengalaman hampir 50 tahun menghasilkan kain Pua Kumbu mengakui pantang larang dalam menghasilkan seni warisan itu sedikit sebanyak menjadikan harga hasil seni itu agak tinggi.
"Ada pembeli kata, Pua Kumbu hasil buatan tangan ini mahal, tetapi mereka tidak tahu prosesnya panjang dan rumit sehingga mengambil masa antara tiga hingga enam bulan disiapkan untuk sehelai kain berukuran dua meter dengan lebar lebih kurang satu meter," katanya.
Jadi, bagi menghasilkan Pua Kumbu mengambil masa lama, Nancy memberitahu beliau pernah membawa peralatan tenunan ketika menziarahi anaknya yang menetap di Johor Bahru.
"Keadaan ketika itu agak lucu apabila pegawai di lapangan terbang memberikan reaksi muka pelik ketika melihat isi kandungan beg saya bawa.
"Saya terpaksa menjelaskan semua kayu dibawa itu adalah alat tenunan dan mereka berdekah-dekah ketawa kerana tidak pernah melihat orang bawa peralatan tenun ketika menziarah anak," katanya.