Selasa, 13 Disember 2022 | 11:58am
Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dayang fatimah Tom Abang Saufi (tengah) bersama pereka fesyen, Gillian Hung (kiri) dan Pengarah Kolej Raffles, David Liew ketika majlis perlancaran Malaysia Fashion A Journey in Color di Balai Seni Negara. - NSTP/Azreen Mohamad
Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dayang fatimah Tom Abang Saufi (tengah) bersama pereka fesyen, Gillian Hung (kiri) dan Pengarah Kolej Raffles, David Liew ketika majlis perlancaran Malaysia Fashion A Journey in Color di Balai Seni Negara. - NSTP/Azreen Mohamad

Pameran MODA himpun 30 pereka fesyen terkenal

KUALA LUMPUR: Bersempena ulang tahun ke-30 penubuhan Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) pelbagai program disediakan termasuk pameran fesyen yang menghimpunkan hasil karya 30 pereka fesyen terkenal tempatan dan luar negara sepanjang bulan ini di Balai Seni Negara, di sini.

Pameran bermula 1 Disember lalu hingga 30 Disember ini juga akan diadakan pertunjukan fesyen yang memperagakan rekaan pilihan yang unik bagi mengisi ruangan aktiviti bermanfaat untuk pengunjung.

Presidennya, Melinda Looi, berkata semua nama-nama hebat adalah dalam kalangan pereka fesyen yang terserlah dan aktif dalam memperkasakan industri fesyen tempatan dan antarabangsa.

Katanya, turut dianjurkan adalah beberapa bengkel reka seni, 'Trunk Show', forum fesyen dan sesi perkongsian dikendalikan ahli MODA.

Pada masa sama, MODA juga melancarkan 'Coffee Table Book" bertajuk 'Malaysian Fashion: A journey in Colour' yang membawa coretan serta lipatan sejarah perjalanan persatuan itu sejak penubuhan 30 tahun lalu.

Buku berkenaan turut menghimpunkan profil dan karya seni eksklusif oleh 38 pereka fesyen terkenal tanah air yang bernaung sebagai ahli MODA.

Selain beliau, antara pereka terkenal melakari profil di buku terbabit termasuk Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Bernard Chandran, Datuk Jimmy Choo.

"Penerbitan buku ini memaparkan usaha tegar MODA yang selama ini menyokong peningkatan peningkatan dan perkasaan industri fesyen negara.

"Malah, melalui penghasilan buku ini, segala hasil kerja pereka fesyen dan couturier tempatan bertaraf antarabangsa, pereka barang kemas yang berbakat, serta pakar seni yang berbagai dapat digabungkan dalam sebuah penerbitan ekslusif buat julung kalinya.

"Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada Kolej Pengajian Tinggi Raffles, Kuala Lumpur serta pelajar dan kakitangannya yang bertungkus-lumus menghasilkan buku keluaran khas ini," katanya.

Pada majlis pelancaran 'Coffee Table Book' di Balai Seni

Negara, baru-baru ini, turut dimeriahkan dengan pertunjukan koleksi fesyen daripada lebih 20 pereka tempatan.

Bina industri fesyen lebih kukuh

Melinda berkata, selama lebih 30 tahun juga MODA sudah memupuk budaya ini berterusan sehingga kini.

Melinda Looi
Melinda Looi

"Jika bukan kerana MODA, saya tidak akan menjadi pereka seperti saya hari ini yang juga memberi banyak dorongan untuk menjadi yang terbaik.

"Selama bertahun-tahun, saya masih belajar untuk menjadi ahli yang lebih baik dan presiden yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata, perjalanan dalam bidang akan berterusan dan pada masa sama memberi sokongan kepada kepada generasi akan datang dalam arena sama.

"Saya harap kita dapat mencari jalan untuk mengembalikan kegemilangan dunia fesyen Malaysia. Bukan sahaja untuk dipromosikan di peringkat tempatan, malah global.

"Justeru, kita seharusnya memastikan semua orang boleh belajar dan mendapat manfaat daripada kekuatan masing-masing, sekali gus dapat membantu membina industri ini lebih kukuh dan memberi manfaat kepada semua orang," katanya.

Berita Harian X