Rabu, 7 Disember 2022 | 12:59pm
Model memperagakan rekaan batik ketika Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, Jalan Conlay. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Model memperagakan rekaan batik ketika Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, Jalan Conlay. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Industri kraf batik tempatan kembali melonjak

KUALA LUMPUR: Industri kraf batik di Malaysia kini kembali melonjak selepas nilai jualan yang dijana oleh usahawan meningkat sebanyak 78 peratus pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli, berkata nilai jualan dijana menerusi barangan kraf berasaskan batik bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu adalah sebanyak RM69.2 juta berbanding hanya RM38.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Usaha ini juga turut menunjukkan penambahan jumlah usahawan dan tenaga kerja dalam industri kraf batik.

"Ini membuktikan inisiatif dilaksanakan oleh Kraftangan Malaysia berjaya merancak dan melonjakkan pencapaian industri kraf batik khasnya dan industri kraf negara amnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Saraya Arbi.

Apabila ditanya mengenai batik canting yang semakin kurang mendapat permintaan, akuinya ketika ini memang terdapat banyak pilihan batik.

Namun katanya, batik canting masih menjadi pilihan dan buktinya apabila nilai jualan kraf batik yang meningkat mendadak pada tahun ini.

"Masing-masing mempunyai minat batik yang tersendiri namun saya tidak rasa batik canting kurang diminati, namun permintaan semakin tinggi ketika ini.

Model memperagakan rekaan batik ketika Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, Jalan Conlay. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Model memperagakan rekaan batik ketika Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf, Jalan Conlay. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

"Ini terbukti berdasarkan hasil jualan pada tahun ini ia menunjukkan permintaan produk batik semakin meningkat," katanya.

Guna bahan semula jadi jimat kos

Beliau berkata, ketika ini terdapat batik tanah liat dan linut yang menggunakan bahan semula jadi sebagai bahan alternatif untuk menggantikan lilin batik.

Katanya, penggunaan bahan semula jadi yang dapat menjimatkan kos itu memudahkan usahawan menghasilkan reka corak.

"Penggunaan bahan semula jadi ini juga adalah salah satu inisiatif ke arah pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kerana ia mesra alam," katanya.

Ketika ini Kraftangan Malaysia juga giat membuat pelbagai lagi kajian yang dapat memanfaatkan kepada industri itu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.

Malah katanya, hasil kajian turut dikongsi dengan para usahawan dan komuniti kraf batik supaya mereka dapat menggunakan hasil kajian.

"Usahawan dan komuniti kraf berkenaan kemudian dapat berusaha mengkomersialkan dengan menghasilkan pelbagai pilihan produk untuk ditawarkan di pasaran," katanya.

Sambutan Hari Batik Malaysia tahun ini adalah sambutan kali kedua selepas ia diisytiharkan pada 1 Disember 2021.

Ia bertujuan membuka peluang kepada usahawan dan komuniti kraf menghasilkan kepelbagaian produk batik menggunakan reka corak, teknik, dan bahan baharu supaya industri dapat menawarkan pilihan produk terbaik kepada pengguna.

Sambutan Hari Batik Malaysia yang diadakan Sabtu dan Ahad lalu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program termasuk Eksplorasi Kraf, Ekspresi Kraf Batik, Jualan Produk Kraf Batik, selain pelbagai pameran lain berkaitannya.

Berita Harian X