KUALA LUMPUR: Pengisytiharan Hari Batik Malaysia, pada 1 Disember 2021 melahirkan lebih ramai usahawan dan komuniti kraf batik yang kreatif serta inovatif.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Saraya Arbi, berkata ia sekali gus melonjakkan permintaan terhadap produk batik dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan usahawan, komuniti serta keseluruhan rantaian pengeluarannya.
Katanya, usaha itu selari dengan hala tuju Kraftangan Malaysia iaitu, Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat.
"Kempen Ini Batik Malaysia bermula pada 1 Julai lalu, berjaya meningkatkan kesedaran, kecintaan serta ilmu pengetahuan mengenai produk kraf Malaysia di kalangan masyarakat.
"Malah, hebahan dan publisiti di media sosial, media massa serta melalui aktiviti jerayawara diadakan di bangunan kerajaan seperti Parlimen, bangunan kementerian, pusat beli-belah terpilih dan lokasi tumpuan pengunjung di seluruh negara turut dilihat berkesan.
"Lebih membanggakan, kempen ini juga berjaya memperoleh nilai jualan sebanyak RM180,000 dan ia satu pencapaian membanggakan untuk usahawan dan pengusaha batik di seluruh negara.
"Oleh itu, kementerian akan terus sentiasa menyokong kempen produk kraf seperti itu diteruskan bagi membantu melonjakkan permintaan produk kraf tempatan," katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Batik Malaysia di Kompleks Kraf di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Beliau berkata, sambutan Hari Batik Malaysia dan Kempen Ini Batik Malaysia memberi impak positif kepada industri kraf Malaysia.
"Ia berikutan dalam tempoh Januari sehingga Oktober lalu, sebanyak RM236.1 juta nilai jualan berjaya dijana.
"Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM154.2 juta," katanya.
Lancar logo Batik Malaysia
Saraya berkata, sempena Hari Batik Malaysia pada kali ini, Kraftangan Malaysia turut melancarkan logo Batik Malaysia iaitu jenama produk batik yang dihasilkan oleh usahawan kraf yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia.
Katanya, logo itu adalah salah satu inisiatif Kraftangan Malaysia bagi menonjolkan keaslian produk batik Malaysia yang dihasilkan oleh usahawan fempatan.
Saraya berkata, sambutan Hari Batik Malaysia tahun ini adalah sambutan kali kedua selepas ia diisytiharkan pada 1 Disember 2021.
Katanya, ia bertujuan membuka peluang kepada usahawan dan komuniti kraf menghasilkan kepelbagaian produk batik menggunakan reka corak, teknik, dan bahan baharu supaya industry dapat menawarkan pilihan produk terbaik kepada pengguna.
"Sambutan Hari Batik Malaysia pada Sabtu dan Ahad lalu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program termasuk Eksplorasi Kraf, Ekspresi Kraf Batik, Jualan Produk Kraf Batik.
"Pameran Kraf, Pameran Institut Kraf Negara (IKN) Craftganza, zumbatik, demonstrasi serta interaktif kraf dan persembahan kesenian," katanya.
Sambutan kali ini diadakan acara Mewarna Batik Teramai di bawah aktiviti Cakna Kraf yang direkodkan dalam The Malaysia Book of Records.
Beliau berkata, aktiviti sedemikian memberi pendedahan dan pemahaman kepada peserta berkaitan teknik, proses dan reka corak batik Malaysia.
Peserta juga berpeluang mewarna reka corak batik mengikut kemahiran, kreativiti serta idea masing-masing dalam menghasilkan batik yang menarik melalui warna yang pelbagai.
"Saya difahamkan, aktiviti ini membabitkan seramai 2,000 orang peserta khususnya pelajar sekolah rendah dan menengah, sekolah antarabangsa, pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan swasta serta semua lapisan masyarakat.
"Ia diadakan secara serentak di Kraftangan Malaysia di setiap cawangan negeri seluruh Malaysia termasuk di Kompleks Kraf Kuala Lumpur," katanya.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan turut memberi sokongan dengan penganjuran Viva Batik.
"Kita berharap penganjuran program sebegini dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu gaya hidup sihat.
"Ia juga dapat menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.