KUALA LUMPUR: Optimis suatu hari nanti kemunculannya dalam bidang fesyen serta kraf tangan bakal menyerlah sejajar dengan keperluan industri itu yang memang mempunyai potensi besar dalam menjana ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Justeru, Anis Suraya Aini, 21, penerima Anugerah Terbaik program Diploma Seni Kraf dan Anugerah Ketua Pengarah pada Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Tangan (IKN), baru-baru ini, akan bertekad memburu impiannya bagi mewarnai bidang fesyen suatu hari nanti.
Berkat kegigihannya beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma dengan cemerlang dan itu adalah permulaan baru untuknya melangkah lebih jauh.
Minatnya dalam bidang kraf tangan dipupuk sejak di sekolah rendah menjadikan proses pembelajarannya selama tiga tahun terasa menyenangkan.
"Saya terus kuat belajar sebab bukan daripada orang keluarga senang. Abang-abang saya juga menyokong minat saya daripada awal lagi.
"Sejak sekolah rendah saya memang suka melukis, selepas itu datang minat untuk teruskan dalam bidang kraf ini.
"Setiap subjek saya tak rasa susah, sebab ia kena dengan minat saya," kata anak kelapan daripada 11 beradik.
Selepas ini, penuntut kelahiran Segamat, Johor itu berhasrat untuk meneruskan perjalanannya menimba ilmu di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Perancangan selepas ini, saya nak sambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang tekstil di Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Pilihan kedua pula adalah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Seni Halus. Sementara menunggu, saya sekarang ada buat pekerjaan sambilan," katanya.
Anis menjelaskan, bantuan dan kelengkapan yang disediakan oleh IKN turut memudahkan proses pengajian, sekali gus membantunya meraih kejayaan.
Ini kerana, tiada yuran dikenakan pada setiap semester dan hanya perlu menjelaskan bayaran semasa pendaftaran, iaitu berjumlah RM450.
"IKN menyediakan banyak bantuan terutama kelengkapan untuk menghasilkan setiap projek atau tugasan," katanya.
Mengulas mengenai penganugerahan diterimanya itu, Anis yakin dirinya akan menjadi salah seorang penerima selain berharap dapat memulakan kerjaya dalam sektor kerajaan.
"Saya memang jangka dan yakin untuk dapat anugerah dalam Istiadat Konvokesyen IKN baru-baru sebab saya sentiasa berikan yang terbaik pada setiap semester.
"Harapan saya selepas ini adalah untuk bekerja di bawah Kementerian Pelancongan, seni dan Budaya (MOTAC) dan menjadi usahawan berjaya dalam bidang rekaan serta fesyen," katanya