Jumaat, 11 November 2022 | 11:15am
Koleksi busana jalur hitam putih tampak cantik sesuai digayakan ke mana sahaja. - Foto/Ihsan SriCandy.
Koleksi busana jalur hitam putih tampak cantik sesuai digayakan ke mana sahaja. - Foto/Ihsan SriCandy.

Gaya rekaan jalur minimalis, diterima ramai

TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perumpamaan Melayu sesuai digambarkan mengenai rekaan corak jalur yang kerap menjadi pilihan dalam industri fesyen.

Rekaan fesyen sentiasa berubah, namun bagi corak jalur ini terus malar segar.

Justeru, mempertaruhkan corak jalur dalam setiap rekaan sedia dipakai (RTW) koleksi SriCandy, ternyata idea itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemar fesyen gaya minimalis ini.

Walaupun kebanyakan rekaan busana jalur ditonjolkan dalam setiap rekaan mengikut tema yang dihasilkan, namun ia dilihat masih relevan, menarik dan tidak lapuk dek zaman untuk digayakan di mana saja dan pada bila-bila masa.

Rekaan minimalis diterima ramai

Menurut pereka dan pemilik jenama SriCandy, Noranis Che Aziz, corak jalur ini boleh diterima oleh setiap orang dan tidak terlampau mengikut trend.

Corak jalur lebih minimalis mudah diterima ramai. - Foto/SriCandy
Corak jalur lebih minimalis mudah diterima ramai. - Foto/SriCandy

Katanya, apabila sesuatu rekaan itu terlalu mengikut trend, ia agak sukar untuk digayakan dan dianggap satu pembaziran kerana tidak boleh bergaya secara maksimum.

"Bayangkan jika corak dan warna terlalu sarat, penggayaan amat terhad, jadi lebih baik ia minimalis, diterima ramai dan pada masa sama cantik untuk dipadankan dengan apa saja agar ia tampak lebih moden.

Noranis (dua dari kanan) bersama model menggayakan koleksi busananya . - Foto/Ihsan SriCandy
Noranis (dua dari kanan) bersama model menggayakan koleksi busananya . - Foto/Ihsan SriCandy

"Malah jalur ini juga menepati cita rasa peminatnya kerana berdasarkan corak itu, ia boleh menghasilkan ilusi tubuh yang kurus dan tinggi apabila digayakan dengan tepat," katanya yang sudah enam tahun berada dalam bidang ini.

Fesyen selesa, praktikal dan berbaloi

Noranis berkata, tiga nilai diletakkan dalam rekaan itu berbaloi digayakan kerana praktikal dan keselesaan kerana itu adalah elemen yang amat penting.

Corak jalur menepati cita rasa penggemar fesyen, lebih praktikal untuk ilusi tubuh lebih sempurna. - Foto/Ihsan SriCandy
Corak jalur menepati cita rasa penggemar fesyen, lebih praktikal untuk ilusi tubuh lebih sempurna. - Foto/Ihsan SriCandy

Koleksi RTW dengan corak yang universal. - Foto/SriCandy
Koleksi RTW dengan corak yang universal. - Foto/SriCandy

"Nilai itu amat penting kerana saya tidak mahu pelanggan berasa rugi dan ingin memastikan mereka dapat bergaya sepanjang masa.

"Malah, hampir 90 peratus rekaan saya juga menggunakan kain kapas kerana ia lebih tahan lama, selesa, mudah dibasuh dan senang dijaga dan sesuai dengan cuaca di Malaysia.

"Saya menekankan koleksi RTW berkonsepkan potongan longgar di mana setiap orang boleh menggayakannya, ditambah pula ketika ini potongan itu semakin diminati ramai.

"Disebabkan itu, setiap rekaan saya juga turut menjadi perhatian bagi wanita berusia 25 hingga 45 tahun yang menekankan keselesaan," katanya.

Jelasnya, biarpun koleksinya tertumpu kepada pakaian RTW wanita, tetapi ia juga 'unisex' kerana boleh disarung lelaki juga.

"Umpamanya baju kurung Kedah, bajunya boleh digayakan lelaki dan dipadankan dengan seluar, selain corak sangat universal.

"Apa pun busana yang saya hasilkan, ia demi memastikan pelanggan selesa dan berbaloi untuk dibeli," katanya.

Menyentuh mengenai rekaan pelik yang sering digayakan pada setiap kali pertunjukan fesyen, beliau berkata, ia adalah kreativiti dan identiti pereka sendiri untuk memperkenalkan diri mereka.

"Kebanyakan pereka fesyen itu menawarkan perkhidmatan baju yang ditempah bukannya RTW. Jadi fesyen ditonjolkan itu hanya untuk melambangkan diri mereka sendiri," katanya.

Berita Harian X