Khamis, 3 November 2022 | 10:55am
Bon Zainal (kanan) bersama Faizal (tengah) ketika forum mengenai ‘Fesyen di Malaysia’ sempena MY Gaya Month, baru-baru ini.- Foto/Rohanis Shukri.
Bon Zainal (kanan) bersama Faizal (tengah) ketika forum mengenai ‘Fesyen di Malaysia’ sempena MY Gaya Month, baru-baru ini.- Foto/Rohanis Shukri.

Jangan harap rekaan busana 'meletup' dalam masa singkat

KUALA LUMPUR: Penggiat dan pereka fesyen tidak seharusnya terus mengharapkan rekaannya 'meletup' di pasaran antarabangsa dalam jangka masa singkat tanpa mengambil kira nilai realistik, segmen pasaran dan maklum balas pelanggan.

Pengasas Persatuan Pereka Bumiputra Malaysia (MBDA), Bon Zainal Harun, berkata ramai pereka mengimpikan rekaannya diperagakan di New York, Milan, London sebagai bukti mereka setanding pereka ternama dunia.

"Malah, ada kalangan pereka terutama pereka baharu terlalu cepat mengeluarkan rekaan dalam volume besar, hanya kerana koleksi itu sedang hangat di pasaran, menjadi sebutan atau trend, tanpa sedar terdapat banyak saingan, harga jauh lebih murah serta lebih berkualiti.

"Akibat tindakan tidak realistik, ramai menanggung beban kerugian berikutan koleksinya tiada pembeli, rekaan tidak laku kerana sudah ketinggalan zaman.

"Sepatutnya, pada peringkat bertatih, pereka seharusnya mendapatkan maklum balas, memperbaiki kekurangan sebelum memutuskan untuk mengeluarkan koleksi secara besar-besaran," katanya pada forum sempena MY Gaya Month yang berlangsung sehingga 10 November ini di sebuah pusat beli-belah di sini.

Kempen itu diaturkan MBDA untuk menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Hadir sama, Pensyarah Kanan Fesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Faizal Hamid.

Forum mengupas mengenai 'Fesyen di Malaysia' dan menyorot trend terkini serta akan datang di samping membincangkan perkembangan fesyen tempatan dan global.

Rancakkan kembali industri fesyen

Dalam pada itu, Bon Zainal berpandangan, banyak kemajuan dikecapi industri fesyen tempatan sejak beberapa tahun lalu, menerusi pencapaian pereka menghasilkan produk berkualiti, sekali gus mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.

"Justeru, bagi menyokong jenama tempatan, rakyat Malaysia dan pelancong boleh menyumbang kepada usaha merancakkan kembali industri fesyen, secara langsung atau tidak langsung.

"Sebagai penggiat fesyen, pereka perlu mempunyai minda yang kreatif kerana di dalam penggayaan, wanita bermain dengan emosi, manakala lelaki dengan ego," katanya.

Ramai pereka mengimpikan rekaannya diperagakan di New York, Milan dan London, namun perlu kreatif hasilkan karya serta bernilai tinggi.- Foto/NSTP
Ramai pereka mengimpikan rekaannya diperagakan di New York, Milan dan London, namun perlu kreatif hasilkan karya serta bernilai tinggi.- Foto/NSTP

Jenama fesyen perlu ada nilai 

Sementara itu, Faizal optimis dengan perkembangan fesyen tempatan lebih-lebih lagi ketika kemuncak COVID-19 dalam tempoh dua tahun lalu.

Katanya, pereka fesyen khususnya bakat baharu mudah membiasakan diri dengan norma COVID-19.

Ini termasuk pelajar supaya dapat belajar dalam landskap baharu pandemik serta beralih kepada dunia dalam talian, pada masa sama, dapat mengekalkan sentuhan peribadi, hubung kait untuk kekal berdaya saing dalam industri.

"Misalnya, sehingga kini pensyarah masih mengguna pakai kaedah hibrid, walaupun dunia fesyen membabitkan seni kreatif, tetapi kepesatan teknologi memberi inspirasi kepada pereka untuk menghasilkan rekaan berbeza, realistik dan mempunyai keistimewaan sendiri.

"Namun, pereka perlulah berusaha menjadikan jenamanya mempunyai nilai, hasil yang serta diversity memenuhi kreativiti, misalnya dalam menghasilkan koleksi musim panas, perlu tahu tahu warna, kaitan budaya dan sensitiviti," katanya.

Berita Harian X