X
Selasa, 21 Januari 2020 | 9:02am
Asna Nabiha (tengah) menunjukkan produk daripada kertas dinding batang pisang yang berjaya menembusi pasaran di Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Asna Nabiha (tengah) menunjukkan produk daripada kertas dinding batang pisang yang berjaya menembusi pasaran di Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Inovasi baharu rangsang industri kraf

JOHOR BAHRU: Industri kraf negara mampu berkembang pesat menerusi inovasi ciptaan dan rekaan baharu bagi menambat hati pembeli tempatan serta pelancong asing sekali gus memberi peluang usahawan meningkatkan pendapatan.

Usahawan produk eko pertanian, Asna Nabiha Aziz, dari Kampung Sinaran Baru, Skudai, dekat sini, berkata produk kraf buatan anak tempatan bermutu tinggi dan setanding dengan rekaan dari luar negara.

Beliau yang menghasilkan produk kraf daripada bahan terbuang kulit nanas dan kulit batang pisang menganggap program dianjurkan kerajaan seperti Festival Kraf Johor 2019 yang dianjurkan baru-baru ini sebagai pembuka jalan bagi menyemarakkan lagi industri itu.

“Kami kini baru sahaja berjaya menghasilkan inovasi kertas dinding daripada batang pisang hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri sebagai produk terbaharu, selain kami sedang membuat ujian mengeluarkan koleksi alat aksesori kecantikan termasuk penyental badan (loofah) daripada peria.

“Bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020), kami memperkenalkan rangkaian poskad dengan lukisan tempat pelancongan terkenal Malaysia dan pelekat peti sejuk dengan lukisan buahan tempatan dengan harga RM5 dan RM8, yang dibuat daripada kertas nanas,” katanya.

Festival Kraf Johor 2019 melabuhkan tirai 31 Disember lalu dianjurkan selama 15 hari disertai lebih 200 pengusaha kraf di seluruh negara, membuka mata rakyat tempatan dan pelancong asing terhadap keunggulan produk kraf negara pelbagai variasi.

Ia mempamerkan lebih 200 hasil produk kraf meliputi tekstil batik, songket, kaftan, jubah, kebaya, kurung, ukiran kayu, anyaman rotan, mengkuang dan pandan, selain produk bahan buangan semula jadi.

Asna menerusi syarikatnya, Nature Renascent, menghasilkan produk termasuk kertas nanas, benang dan fabrik daun nanas, kertas batang pisang, kotak tisu, koleksi pelbagai jenis beg daripada fabrik nanas dan batang pisang jenama Palmsy, sejak 10 tahun lalu.

Terbaharu, syarikatnya memperkenalkan kertas dinding daripada kulit batang pisang yang berjaya menarik pembeli dari Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Alhamdulillah, syarikat saya dibantu empat pekerja termasuk ibu mampu bertahan. Kami mengeluarkan produk mengikut kemahuan pelanggan termasuk korporat yang membeli produk termasuk beg kertas, kertas nanas dan kulit batang pisang, pad memo, selain cenderahati majlis dan keraian.

Asna berkata, beliau berharap TMM 2020 akan memberikan rezeki kepada pengusaha kraf negara dan membawa sinar baharu buat industri berkembang ke pasaran antarabangsa.

Bagi pemilik De' Art Craft yang mengusahakan batik tulis dan blok dari Chendering, Terengganu, Syed Hasmadi Tuan Dalam, berkata produk kraf keluaran negara terutama batik Malaysia mempunyai reputasi tinggi di kalangan rakyat tempatan dan pelancong luar.

Katanya, keunikan dan kecantikan batik Malaysia dengan mainan warna dan motif flora serta abstrak yang dicanting tangan mempunyai peminat tersendiri sejak dari dahulu lagi.

Katanya, beliau menggunakan inspirasi orkid sebagi motif utama bagi koleksi tekstil dan pakaian wanitanya termasuk blaus, selendang, skaf dan pario manakala motif abstrak dan geometri bagi tekstil dan pakaian lelaki termasuk kemeja dan mafla.

“Saya pernah membawa hasil rekaan batik untuk dipamerkan di Iowa, Amerika Syarikat dan Jepun dan menerima sambutan serta minat yang tinggi daripada masyarakat di sana.

“Mereka berminat membeli koleksi mafla, scarft dan pario yang direka bermotifkan flora tropika.

“Saya juga disarankan menghasilkan rekaan koleksi mengikut empat musim di sana iaitu musim panas, sejuk, bunga dan luruh kerana ia berpotensi menarik minat lebih ramai pembeli dan dipasarkan dengan meluas.

“Bagi TMM 2020, saya sudah menghasilkan rekaan baharu berinspirasi laut termasuk ombak, nelayan serta motif jala menggunakan warna pastel ke atas produk termasuk mafla, pario, skaf dan blaus,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X