X
Jumaat, 3 Januari 2020 | 3:25pm
- Foto FB International Borneo Fest
- Foto FB International Borneo Fest

Pereka fesyen ketengah pakaian tradisional kasual

TUARAN: Rekaan pereka fesyen diinspirasikan pakaian tradisi etnik Rungus dari Sabah, dinobatkan di tempat ketiga sempena pertandingan International Borneo Fest 2019 yang berlangsung di St John Church, Hyde Park, London, baru-baru ini.

Difahamkan, seramai 15 peserta berentap dengan masing-masing dua model peragaan sebelum disenarai pendek kepada sembilan peserta yang layak ke peringkat akhir bagi kategori Borneo Designer Award dianjurkan Borneo Street Kuala Lumpur.

Peserta, Ahmad Fikri Gompul, 31, berasal dari Kampung Pangadawan Kiulu, Tuaran di sini, berkata rekaan itu dihasilkan daripada kain tenun pakaian tradisi etnik Rungus yang digabungkan bahan Corduroy (Denim) dan Chiffon untuk membolehkan ia berkonsep ‘Ready To Wear’ (sedia untuk dipakai).

“Konsep pertandingan ini bertujuan menghasilkan pakaian moden yang menggunakan corak serta warna daripada pakaian tradisional etnik di Sabah dan Sarawak.”

“Idea untuk memilih kain tenun daripada etnik Rungus ini adalah disebabkan saya mengagumi corak dan warna yang ada pada pakaian tradisional itu,” katanya ditemui semalam.

- Foto FB International Borneo Fest
- Foto FB International Borneo Fest

Ahmad Fikri yang juga bekas penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, menjelaskan dia mengambil tempoh selama dua minggu untuk menyiapkan rekaan itu.

“Reka bentuk pakaian kasual ini saya sediakan untuk sepasang model dan ia boleh dipakai untuk semua peringkat umur sekali gus mempromosikan budaya yang ada di Sabah.

“Saya harap usaha ini menjadi contoh kepada pereka fesyen tempatan yang boleh menarik generasi baharu mengekalkan pemakaian tradisi kekal relevan walaupun mengalami perubahan yang pesat,” katanya.

Berita Harian X