Sabtu, 2 Jun 2018 | 12:36pm

Tudung 'instant' gaya Neelofa

KUALA LUMPUR: Sempena Syawal tidak lama lagi, jenama tudung Naelofar Hijab melancarkan koleksi tudung #naelofaraya2018 bertemakan #ShineOn.

Tema berkenaan dipilih sendiri pengasasnya, yang juga selebriti terkemuka, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali dengan Neelofa.

#ShineOn memberi makna setiap individu perlu menghargai diri dan sentiasa bangkit daripada kegagalan dalam meniti kehidupan.

Masih mengekalkan rekaan 'instant', semi-instant, tudung empat segi dan selendang seperti tahun sebelumnya atas permintaan ramai juga, koleksi #naelofaraya2018 mengetengahkan rekaan turban yang diperbaharui, dikeluarkan dalam edisi Luxe.

Lapan koleksi #naelofaraya2018 bukan saja menampilkan variasi kelainan tetapi menggunakan fabrik berkualiti dan rekaan kemasan bermutu tinggi.

Koleksi yang sudah berada di pasaran ini dijual antara harga RM88 hingga RM 93 menampilkan tudung instant Alina, Lola dan Be Lofa Instant Raya.

Manakala bagi mereka yang mahukan selendang koleksi Layla, Ameera dan Zara mungkin sesuai dengan anda untuk digayakan bersama turban Be Lofa Luxe Raya.

#naelofaraya2018 turut menampilkan koleksi Elsa untuk mereka yang gemarkan penampilan tudung empat segi selain hiasan batu kristal Swarovski terbaru, 'teardrop pendant'.

Serentak dengan pelancaran tudung itu, video eksklusif bertemakan #ShineOn dilancarkan menerusi semua platform sosial media dan digital NH Prima, Naelofar Hijab dan Neelofa pada 21 Mei lalu.

Video berdurasi hampir lima minit menjalani penggambaran di The Ritz Carlton Koh Samui, Thailand dengan kerjasama YTL Hotels, pada pertengahan April lalu.

Berita Harian X