Rabu, 6 September 2017 | 7:38pm
SHAH Rizul dan suami, Muhamad Shahril Ismail membuka butik Eja Shahril di Bertam Perdana, Kepala Batas bagi memudahkan pelanggan datang. - Foto Nur Izzati Mohamad
SHAH Rizul kini bergelar antara pereka pakaian wanita menepati syariah di negara ini. - Foto Nur Izzati Mohamad
REKAAN Shah Rizul menarik perhatian pereka fesyen antarabangsa apabila beliau dijemput memperaga rekaannya pada 'Couture New York Fashion Week' di New York, Amerika Syarikat. - Foto Nur Izzati Mohamad
SHAH Rizul membantu kakitangannya menyiapkan rekaan yang akan dipentaskan di 'Couture New York Fashion Week' di New York, Amerika Syarikat. - Foto Nur Izzati Mohamad
SHAH Rizul dibantu suami melakukan persiapan untuk dipentaskan di Couture New York Fashion Week' di New York, Amerika Syarikat. - Foto Nur Izzati Mohamad

Eja Shahril dari Kepala Batas ke New York

KEPALA BATAS: Permintaan adik yang mahu memakai persalinan muslimah pada hari perkahwinannya, memberi tuah kepada seorang suri rumah yang kini bergelar antara pereka pakaian wanita yang menepati kehendak Islam di negara ini.

Lebih membanggakan, rekaan Shah Rizul Irza Zulkiply, 33, turut menarik perhatian pereka fesyen antarabangsa apabila beliau dijemput memperagakan rekaannya pada 'Couture New York Fashion Week' di New York, Amerika Syarikat bermula lusa.

Shah Rizul berkata, segala-galanya bermula pada 2008 apabila adik perempuannya menghadapi masalah mencari persalinan bagi majlis perkahwinannya kerana kebanyakan pakaian pengantin tidak menepati kehendak syariah.

Beliau yang kini turut bergelar usahawan berkata, niatnya bukan mahu mencipta nama berlandaskan fesyen, tetapi bagi membuktikan fesyen Muslimah juga mampu berdaya saing dan mempunyai pasaran yang tersendiri.

"Pada mulanya saya cuma menghasilkan tudung labuh yang disesuaikan dengan pakaian pengantin adik sebelum mengambil keputusan menceburi perniagaan rekaan fesyen ini secara serius pada 2009.

"Saya kemudian mula menjual pakaian muslimah di bawah jenama 'Eja Shahril' melalui media sosial saja dan tidak menyangka ia mendapat sambutan, malah ada artis tempatan turut membelinya," kata anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu ketika ditemui BH baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, Shah Rizul yang juga graduan bidang pengurusan perniagaan dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), tidak pernah mengikuti pengajian dalam bidang rekaan fesyen, kecuali belajar menjahit dan mereka pakaian secara tidak formal.

Berkat ketabahan dan kesungguhannya, bermula 2012, beliau dan suami, Muhamad Shahril Ismail, 34, nekad membuka butiknya sendiri di Bertam Perdana di sini.

"Ketika itu, suami bertugas sebagai jurutera di sebuah jabatan kerajaan dan beliau sendiri sanggup meninggalkan kerjaya dan membantu menguruskan syarikat serta tiga anak kami yang masih kecil.

"Alhamdulillah hasil nasihat daripada keluarga dan rakan, saya berharap dapat terus berdakwah melalui fesyen, sekali gus membuktikan kepada dunia bahawa Islam indah dan mudah dipatuhi sekiranya ikhlas," katanya.

Shah Rizul kini berada di Iceland bagi sesi fotografi beberapa rekaannya, sebelum terbang ke New York bagi menghadiri minggu fesyen di negara Uncle Sam itu.

 

INFO

  • Rekaan pakaian menepati syariah, bercirikan Islam dan menutup aurat
  • Menyertai 'Saverah Fashion Show' di London pada 2015
  • Menyertai 'Asian Islamic Fashion Week' di Jakarta, Indonesia pada 2016
  • Menjadi antara empat pereka Malaysia dijemput menyertai Couture New York Fashion

    Week 2017

  • 21 kru tempatan terbabit pada sesi peragaan di New York
Berita Harian X