Rabu, 24 Februari 2016 | 12:19am

Samsung Gear 360 boleh didapati mulai suku kedua 2016

KUALA LUMPUR: Samsung Electronics Co Ltd memperkenalkan Samsung Gear 360 yang baharu, kamera 360 darjah yang membolehkan pengguna mewujudkan, melihat dan berkongsi pengalaman mereka melalui video dan imej pegun.

Samsung dalam kenyataan hari ini, berkata Gear 360 dilengkapi dengan dua lensa mata ikan, kedua-duanya mempunyai pengesan imej beresolusi 15 megapiksel, memberi keupayaan kepada pengguna untuk mengambil video dengan resolusi tinggi 360 darjah yang turut menyokong imej pegun 30 megapiksel.

Presiden perniagaan komunikasi mudah alih Samsung Electronics, DJ Koh, berkata Samsung akan terus meluaskan sempadan pengalaman mudah alih yang melangkaui telefon pintar.

"Selepas Gear VR dilancarkan pada tahun lalu, Gear 360 terus menggalakkan had ke atas kandungan yang imersif - menyediakan pengalaman visual yang membolehkan proses mengambil dan berkongsi detik-detik kehidupan lebih mudah," katanya.

Dengan reka bentuk yang ringan dan kompak serta berbentuk sfera, Gear 360 memaksimumkan mudah alih untuk merakam aktiviti luaran dan dalaman.

Gear 360 boleh digunakan dengan telefon pintar Samsung Galaxy S7 dan Galaxy S7 edge, Galaxy S6 edge+, Galaxy Note 5, Galaxy S6 edge dan Galaxy S6.

Gear 360 boleh didapati mulai suku kedua 2016 di negara terpilih, termasuk Malaysia. - BERNAMA

Berita Harian X