Rabu, 30 September 2015 | 11:53am

Jualan iPhone 6S dan 6S Plus catat untung luar biasa

CEO Apple, Tim Cook ketika memperkenalkan iPhone 6S pada pelancaran di San Francisco, California, 9 September lalu. - Foto AFP
CEO Apple, Tim Cook ketika memperkenalkan iPhone 6S pada pelancaran di San Francisco, California, 9 September lalu. - Foto AFP

APPLE mencatat keuntungan luar biasa ke atas penjualan iPhone 6S dan iPhone 6s Plus walaupun tidak sampai seminggu pelancarannya.

Hasil jualan ini turut mencatatkan rekod siri iPhone yang paling berjaya dan lantaran sambutan luar biasa ini, Apple akan mempercepatkan jualan iPhone 6S ke negara lain bermula 9 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook berkata, syarikat itu bangga dan yakin produk Apple akan terus menjadi peneraju dalam pasaran dunia telefon pintar.

"Maklum balas daripada pelanggan adalah sangat luar biasa. Kebanyakan mereka menggemari fungsi baharu yang terdapat dalam iPhone 6S seperti Touch 3D dan Live Foto.

"Ini membuatkan syarikat tidak sabar untuk membawa iPhone 6S dan iPhone 6S Plus kepada pelanggan di lebih 170 negara bermula 9 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan rasmi menerusi laman web Apple.

iPhone 6S dan iPhone 6S Plus boleh didapati di lebih daripada 40 negara bermula 9 Oktober ini termasuk Itali, Mexico, Russia, Denmark, Belanda, Sepanyol dan Taiwan.

Bagi pengguna di Malaysia pula, iPhone 6S dan iPhone 6S Plus akan mula menjengah pasaran pada 16 Oktober ini termasuk di India dan Turki.

Menjelang akhir tahun ini, siri iPhone terbaru akan tersedia di lebih 130 negara termasuk Malaysia.

iPhone 6S dan iPhone 6S Plus membawa satu dimensi baru dalam siri iPhone dengan fungsi seperti Multi-Touch dengan 3D Touch, yang memberikan pengalaman baru pada paparan hadapan.

3D touch (sentuhan tiga dimensi) bertindak balas apabila sentuhan dibuat di atas skrin yang membolehkan pengguna melihat aplikasi dan mesej di dalamnya.

Siri iPhone ini juga menggunakan teknologi cip terbaru dan paling berteknologi iaitu A9, memberikan prestasi yang lebih hebat. Ia juga mempunyai ketahanan bateri yang mampu bertahan lama.

Pada paparan luarannya pula, Apple menggunakan aluminium siri 7000 sebagai kerangka luarannya, antara teknologi yang sama digunakan dalam industri aeroangkasa.

Edisi iPhone terbaru ini akan menggunakan sistem pengoperasian paling maju dalam dunia telefon pintar iOS 9.

Edisi 6S pula termasuk dalam saiz 4.7 inci (kira-kira 12 sentimeter) skrin paparan manakala 6S Plus - satu lagi telefon pintar popular dalam kategori phablet - dengan saiz skrin 5.5 inci.

Namun perisian dalam edisi terbaru ini disokong dengan pemprosesan data lebih bertenaga yang membolehkan paparan lebih menarik bagi data berbentuk grafik.

Berita Harian X