Khamis, 10 September 2015 | 9:03am
MODEL terbaharu iPhone 6S dan 6S Plus dipaparkan pada acara media Apple di San Francisco, California. - Foto REUTERS
MODEL terbaharu iPhone 6S dan 6S Plus dipaparkan pada acara media Apple di San Francisco, California. - Foto REUTERS

Apple perkenal iPhone 6S, 6S Plus terbaharu

SAN FRANCISCO: Apple hari ini melancarkan dua edisi iPhone terbaharunya sejajar dengan sasaran memperkenalkan telefon bimbit berskrin lebih besar mulai penghujung tahun lalu.

Telefon pintar terbaharu itu ialah iPhone 6S dan 6S Plus, dengan meneruskan dimensi keseluruhan yang sama dengan versi sebelum ini.

"Kedua-duanya dilihat serupa, tapi kami mengubah segala-galanya mengenai edisi iPhone ini," kata Ketua Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook.

Salah satu elemen terbaharu dikenali "3D touch" (sentuhan tiga dimensi) yang bertindak balas apabila sentuhan dibuat di atas skrin yang membolehkan pengguna melihat aplikasi dan mesej di dalamnya.

Edisi iPhone terbaharu ini akan menggunakan sistem pengoperasian iOS 9 yang mampu menyokong elemen terbaharu seperti '3D touch'.

Edisi 6S pula termasuk dalam saiz 4.7 inci (kira-kira 12 sentimeter) skrin paparan manakala 6S Plus - satu lagi telefon pintar popular dalam kategori "phablet-' dengan saiz skrin 5.5 inci.

Namun perisian dalam edisi terbaharu ini disokong dengan pemprosesan data lebih bertenaga yang membolehkan paparan lebih menarik bagi data berbentuk grafik. - AFP

Berita Harian X